Hadith-hadith Sahih Yang Mewajibkan Ikut Ahlul Bayt AS
http://almawaddah.orgfree.com/tijani/tijani20.htm
http://almawaddah.orgfree.com/tijani/tijani20.htm
1. Hadith al-Thaqalain (Dua Pusaka Berat)
Bersabda Rasulullah SAWA: "Wahai manusia, aku tinggakan kepada kalian
sesuatu yang jika kalian berpegang teguh kepadanya, maka kalian tidak akan
tersesat selama-lamanya: Kitabullah dan Itrahku, Ahlul Baytku."
Sabdanya lagi: "Utusan Tuhanku tidak lama lagi akan datang, dan aku segera
menyahutinya. Sungguh, aku tinggalkan kepada kalian dua pusaka berat (thaqalain):
pertama Kitab Allah. Di dalamnya, ada petunjuk dan cahaya. Kedua: Ahlul
Baytku. Aku ingatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul Baytku ini, aku
ingatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul Baytku ini" [90].
Jika kita renungkan makna hadith yang mulia ini, yang diriwayatkan oleh
buku-buku hadith sahih Ahlul Sunnah Wal Jamaah, maka kita dapati bahawa
hanya Syiah sahaja yang mengikuti Thaqalain ini: Kitab Allah dan
keluarga Nabi yang suci. Sementara Ahlul Sunnah ikut kata-kata Umar: "Cukuplah
untuk kami Kitab Allah sahaja."
Oh, alangkah bahagianya jika mereka benar-benar ikut Kitab Allah, tanpa
menakwilkannya mengikut hawa nafsu mereka. Jika Umar sendiri tidak faham
apa makna kalalah, tidak tahu ayat tayammum dan berbagai hukum-hukum yang
lain, maka bagaimana mereka yang datang kemudian lalu mentaklidnya (mengikutnya)
tanpa berijtihad, atau berijtihad dengan pandangannya semata-mata di dalam
nas-nas Qurani.
Mereka tentu akan menjawabku dengan suatu hadith yang diriwayatkan di
sisi mereka:"Aku tinggalkan kepada kalian Kitab Allah dan Sunnahku"[91].
Hadith ini kalaulah sohih dari segi sanadnya, maka ia benar di dalam
maknanya meingatkan makna Itrah di dalam sabda Nabi SAWA di dalam Hadith
as-Thaqalain di atas adalah merujuk kepada Ahlul Bayt agar mereka mengajarkan
kepada kalian pertamanya - Sunnahku, atau mereka akan meriwayatkan kepada
kalian hadith-hadith yang sahih. Mengingat mereka adalah orang-orang suci
dari segala sifat dusta dan Allah telah mensucikan mereka dengan ayat Tathirnya.
Kedua; agar mereka menafsirkan kepada kalian makna-makna ayat dan maksud-maksudnya,
mengingat Kitab Allah semata-mata tidak cukup sebagai bimbingan. Betapa
banyak golongan-golongan yang sesat berhujah dengan Kitab Allah. Sebagaimana
juga sabda Nabi SAWA: "Betapa banyak pembaca al-Qur'an sementara al-Qur'an
sendiri melaknatnya". Kitab Allah bersifat diam dan membawa berbagai tafsiran.
Di dalamnya ada yang mutasyabih dan ada juga yang muhkamat. Untuk memahaminya
mesti merujuk kepada orang-orang yang rusukh di daam ilmunya - ikut istilah
al-Qur'an - dan ikut bimbingan Ahlul Bayt Nabi seperti yang ada di dalam
hadith-hadith Nabi SAWA.
Syiah merujuk segala sesuatu kepada para imam yang maksum dari kalangan
keluarga Nabi SAWA.
Dan mereka tidak berijtihad melainkan jika memang tidak
ada nas berkenaan dengannya. Sementara kita merujuk segala sesuatu kepada
sahabat, sama ada di dalam tafsir al-Qur'an atau Sunnah Nabawi. Kita telah
tahu sikap-sikap sahabat, apa yang mereka lakukan dan ijtihad dengan menggunakan
pandangan mereka semata-mata yang bertentangan dengan nas-nas yang jelas.
Jumlahnya ratusan. Dan kita tidak boleh berpegang kepada seumpama itu setelah
diketahui apa yang mereka lakukan.
Jika kita tanyakan ulama-ulama kita sunnah apa yang mereka ikuti? Mereka
akan menjawab: Sunnah Rasulullah SAWA. Sementara fakta sejarah mengingkari
kenyataan itu.
Mereka meriwayatkan bahawa Rasul bersabda: "Berpeganglah
kalian kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa Rasyidin selepasku. Peganglah
ia demikian kuat bagaikan mengigit dengan gigi geraham kalian. "Dengan demikian
sunnah yang diikuti kebanyakannya adalah sunnah para Khulafa Rasyidin hatta
sunnah Rasul sendiri yang mereka katakan itu adalah riwayat dari jalur
mereka.
Kita juga meriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis sahih bahawa Rasul
pernah melarang mereka menuliskan sunnahnya agar kelak tidak bercampur
dengna ayat-ayat al-Qur'an. Demikianlah apa yang dilakukan oleh Abu Bakar
dan Umar semasa pemerintahannya. Dengan demikian ucapan kita "Aku tinggalkan
kepada kalian Sunnahku..."[92]
tidak mempunyai hujah yang kuat lagi.
Contoh-contoh yang aku sebutkan ini dan yang tidak aku sebutkan jumlahnya
jauh berlipat ganda - sudah cukup untuk menolak hadith ini. Mengingatkan
bahawa dari sunnahnya Abu Bakar, Umar dan Uthman bercanggah dengan Sunnah
Nabi bahkan membatalkannya sama sekali seperti yang nampak jelas.
Peristiwa pertama yang berlaku segera selepas wafatnya Nabi SAWA yang
dicatatkan oleh Ahlul Sunnah dan ahli sejarah adalah kritik Fatimah Zahra
terhadap Abu Bakar yang berhujah dengan sebuah hadith "Kami para Nabi tidak
meninggalkan warisan pusaka. Apa yang kami tinggalkan adalah sadaqah".
Hadith ini ditolak oleh Fatimah Zahra berdasarkan Kitab Allah. Beliau
berhujah kepada Abu Bakar bahawa ayahnya Rasulullah tidak mungkin akan
menyalahi Kitab Allah yang diturunkan kepadanya. Allah berfirman: "Allah
mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu:
bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan"
(Al-Qur'an Surah al-Baqarah: 11). Ayat ini umum dan meliputi para Nabi
dan bukan nabi. Fatimah juga berhujah dengan firman Allah "Dan Sulaiman
telah mewarisi Daud "(Surah 27:16). Dan kedua-dua mereka adalah nabi. Juga
firman Allah "Maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang
akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub, dan jadikanlah
ia, Ya Tuhanku, seorang yang diredhai" (Surah 19:5-6)
Peristiwa kedua yang berlaku di zaman pertama khilafah Abu Bakar dan
dicatat rapi oleh ahli-ahli sejarah yang bermadzhab Sunnah adalah perselisihannya
dengan orang yang paling rapat dengannya iaitu Umar bin Khattab.
Secara ringkas, Abu Bakar mengambil keputusan untuk memerangi orang-orang
yang enggan membayar zakat sementara Umar menentang pendapatnya. Umar berkata:
mereka tidak wajar diperangi kerana aku dengar Nabi SAWA bersabda: "Aku
diperintahkan untuk memerangi melainkan sehingga mereka mengucapkan Tiada
Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah. Siapa yang mengucapkannya
maka nyawa dan hartanya selamat dan hisabnya pada Allah semata-mata."
Berikut adalah nas yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya: "Dalam
peperangan Khaibar. Rasulullah telah menyerahkan kepada Ali bendera (kepimpinan).
Ali bertanya kepada baginda: Ya Rasulullah, berdasarkan apa aku perangi
mereka? Baginda menjawab: "Perangi mereka sehingga mereka mengucapkan kalimah
Asyhadu An Lailaha illa-Allah wa-Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah. Jika
mereka ucapkan ini maka nyawa dan harta mereka terselamat kecuali benar-benar
kerana haknya. Dan hisab mereka ada pada sisi Allah"[93].
Tetapi Abu Bakar enggan menerima hadith ini. Beliau berkata: "Demi Allah,
aku akan perangi orang yang memisahkan solat dengan zakat, kerana zakat
adalah haknya harta". Atau beliau berkata: "Demi Allah, jika mereka menolak
memberikan kepadaku tali, sedangkan dahulunya mereka memberikannya kepada
Rasulullah maka aku akan perangi mereka kerana sikap penolakannya itu".
Kemudian Umar bin Khattab merasa puas dengan hujah Abu Bakar, dan berkata: "Setelah
aku ketahui bahawa Abu Bakar bersungguh-sungguh di dalam rancangannya itu,
maka hatiku pun terasa gembira sekali".
Aku tidak mengerti bagaimana hati seseorang merasa gembira melihat sunnah
Nabinya diengkari? Takwil mereka ini tidak lebih dari sekadar mencari alasan
untuk memerangi kaum Muslimin yang Allah sendiri telah mengharamkannya.
Firman Allah di dalam Surah an-Nisa':94: "Hai orang-orang yang beriman,
apabila kamu pergi (berperang) di jalan Allah, maka telitilah dan janganlah
kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan "salam" kepadamu: "Kamu bukan
seorang Mukmin "(lalu kamu membunuhnya), dengan maksud mencari harta benda
kehidupan di dunia ini, kerana di sisi Allah ada harta yang banyak. Begitu
jugalah keadaan kamu dahulu, lalu Allah menganugerahkan nikmatNya atas
kamu, maka telitilah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan". Maha Benar Allah Yang Maha Tinggi Dan Maha Agung.
Bagaimanapun mereka yang enggan memberikan zakat kepada Abu Bakar sebenarnya
tidak mengingkari hukum wajibnya zakat itu sendiri. Mereka memperlambatkan
kerana ingin mengetahui keadaan yang sebenarnya.
Orang-orang Syiah mengatakan
bahawa mereka terkejut dengan terlantiknya Abu Bakar sebagai khalifah.
Kerana di antara mereka ada yang hadir bersama-sama Rasulullah di Haji
Terakhir (Hujjatul Wada') dan mendengar sendiri khutbah Nabi yang mengangkat
Ali bin Abi Talib sebagai khalifah setelahnya.
Mereka cuba untuk menunggu
sehingga keadaan sebenarnya dapat diketahui tetapi Abu Bakar ingin membungkamkan
mereka dari mengetahui keadaan sebenarnya ini.
Mengingatkan bahawa aku tidak mahu berhujah dengan apa yang dikatakan
oleh Syiah, maka aku serahkan kepada pembaca yang ingin mencari kebenaran
untuk mengkaji masalah ini.
Aku juga tidak lupa untuk mencatatkan di sini suatu cerita berkenaan
dengan Rasulullah dan Tha'labah. Suatu hari Tha'labah memohon kepada Rasulullah
untuk mendoakannya agar ia menjadi kaya. Dia mendesak Rasulullah dan berjanji
kepada Allah akan bersadaqah jika dia kaya kelak. Rasulullah mendoakannya
dan Allah pun memperkayakannnya.
Disebabkan banyaknya unta dan kambing
ternakannya, kota Madinah yang luas akhirnya terasa sempit baginya. Dia
berpindah dari kota Madinah dan tidak lagi menghadiri solat Juma'at. Ketika
Rasulullah mengutus para Amilin (pengutip zakat) untuk mengambil zakat
darinya, Tha'labah menolak untuk memberikan. Katanya: Ini ufti (jizyah)
atau sejenisnya.
Tetapi Rasulullah tidak memeranginya dan tidak juga memerintahkan
orang untuk memeranginya. Berkenaan dengan ini Allah turunkan ayat berikut: "Dan
di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya
jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan
bersadaqah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh. Maka setelah
Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir
dengan kurnia itu, dan berpaling. Dan mereka memanglah orang-orang yang
selalu membelakangi (kebenaran)" (At-Taubah: 75-76).
Setelah turunnya ayat ini: Tha'labah kemudian datang sambil menangis.
Dia minta kepada Rasulullah untuk menerima zakatnya kembali tetapi Rasulullah
enggan menerimanya seperti yang dikatakan oleh riwayat.
Jika Abu Bakar dan Umar benar-benar mengikuti sunnah Rasul, kenapa ia
menyalahinya dalam tindakan ini dan menghalalkan darah kaum Muslimin yang
tidak berdosa semata-mata kerana alasan enggan memberikan zakat. Setelah
cerita Tha'labah di atas yang mengingkari kewajipan zakat dan bahkan menganggapnya
sebagai ufti, maka tidak ada lagi alasan untuk mempertahankan dan menjustifikasikan
kesalahan yang dilakukan oleh Abu Bakar atau mentakwilkannya dengan mengatakan
bahawa zakat adalah haknya harta. Siapa tahu mungkin Abu Bakar dapat menyakinkan
sahabatnya Umar untuk memerangi orang-orang ini, khuatir sikap mereka ini
akan diketahui oleh negeri-negeri Islam yang lain yang dapat menghidupkan
kembali nas-nasnya al-Ghadir yang memilih Ali sebagai khalifah.
Itulah
kenapa Umar sangat gembira sekali untuk memerangi mereka kerana beliau
sendirilah yang pernah mengancam untuk membunuh orang-orang yang enggan
memberikan bai'ah di rumah Fatimah dan membakar mereka.
Insiden ketiga yang berlaku di zaman pertama khalifah Abu Bakar adalah
perselisihannya dengan Umar bin Khattab, ketika beliau mentakwilkan nas-nas
al-Qur'an dn hadith-hadith Nabawi. Ringkasan ceritanya, Khalid bin Walid
membunuh Malik bin Nuwairah dan meniduri isterinya di malam itu juga. Umar
berkata kepada Khalid: "Wahai musuh Allah, engkau telah bunuh seorang Muslim
dan meniduri isterinya. Demi Allah, aku akan rejam engkau dengan batu"
[94]. Tetapi
Abu Bakar membela Khalid dan berkata: "Biarkanlah hai, Umar. Khalid telah
mentakwil tetapi tersalah. Tutup mulutmu Khalid".
Ini adalah musibah dan aib lain yang telah dilakukan oleh seorang sahabat
besar yang telah dirakam oleh sejarah. Orang ini jika kita sebut,
sentiasa menyebutnya dengan penuh hormat dan kesucian. Bahkan kita memberikannya
gelaran "Pedang Allah Yang Terhunus!!!"
Apa yang harus aku katakan tentang sahabat yang melakukan tindakan keji
seperti ini: membunuh Malik bin Nuwairah seorang sahabat agung, pemimpin
Bani Tamim dan Bani Yarbu'; seorang yang dijadikan perumpamaan di dalam
kemurahan dan keberanian.
Ahli-ahli sejarah telah mencatatkan bahawa Khalid
membunuh Malik dan sahabat-sahabatnya setelah mereka meletakkan senjata
dan bersolat berjamaah. Sebelum itu mereka diikat dengan tali. Ada bersama
mereka Laila bin Minhal, isteri Malik, seorang wanita yang sangat terkenal
dengan kecantikannya. Khalid sangat terpikat dengan kecantikannya ini.
Malik berkata kepada Khalid: Hai Khalid, bawa kami kepada Abu Bakar, biar
dia yang memutuskan perkara kita ini. Abdullah bin Umar dan Abu Qatadah
al-Ansari mendesak Khalid agar membawa mereka berjumpa dengan Abu Bakar
tetapi ditolak oleh Khalid. Katanya: Allah tidak akan mengampuniku jika
aku tidak membunuhnya. Kemudian Khalid melihat isterinya Laila dan berkata
kepada Khalid: kerana dia engkau akan bunuhku? Lalu Khalid menyuruh untuk
dipancung lehernya, dan menawan isterinya Laila. Kemudian di waktu malam,
Khalid menidurinya [95].
Biarlah di dalam melihat peristiwa yang terkenal ini kita nukilkan pengakuan
Ustaz Haikal di dalam bukunya as-Sidiq Abu Bakar. Di dalam bab Pendapat
Umar Dan Hujjahnya Dalam Suatu Perkara, Haikal menulis: "Adapun Umar,
beliau adalah model atau perumpamaan di dalam keadilan dan ketegasan. Beliau
melihat bahawa Khalid telah melakukan kezaliman terhadap seorang Muslim
dan tidur dengan isterinya pula sebelum habis masa edahnya. Dengan demikian
ia tidak layak kekal di dalam kepimpinan ketenteraan, agar perkara itu
tidak berulang lagi dan merosak kehidupan kaum Muslimin serta merosak kedudukan
mereka di mata orang-orang Arab. Katanya lagi: Khalid tidak boleh dibiarkan
tanpa pengajaran atas apa yang dilakukannya terhadap Laila.
Seandainya dia telah mentakwil di dalam perkara Malik dan tersilap -
alasan yang tidak dapat diterima oleh Umar - namun biarlah hukum hudud
itu berjalan atas apa yang dilakukannya terhadap isterinya Laila. Sebagai
"Pedang Allah" dan sebagai pemimpin pasukan yang menentukan kemenangan,
sangatlah tidak layak sekali melakukan apa yang dia telah lakukan itu.
Kalau tidak maka orang-orang seperti Khalid nantinya akan menyalahgunakan
semua peraturan. Dan ini akan menjadi perumpamaan yang sangat buruk terhadap
kaum Muslimin di dalam menghormati Kitab Allah. Itulah kenapa Umar terus
mendesak Abu Bakar sehingg Khalid dipanggil dan dimarahi [96].
Bolehkah kita bertanya kepaa Ustaz Haikal dan ulama-ulama seumpamanya
yang berusaha menjaga "kemuliaan" sahabat, kenapa Abu Bakar tidak melaksanakan
hukum hudud terhadap Khalid? Seandainya Umar seperti yang dikatakan oleh
Haikal - adalah model keadilan dan ketegasan, kenapa beliau puas hati dengan
sekadar menyingkirkan Khalid dan kepimpinan ketenteraan dan tidak melaksanakan
hukum hudud syarie terhadapnya, agar ianya tidak menjadi contoh yang buruk
yang akan dilemparkan kepada kaum Muslimin di dalam menghormati Kitab Allah,
seperti yang disebutkannya? Apakah mereka telah menghormati Kitab Allah
dan melaksanakan hudud-hududNya? Tidak, sama sekali. Inilah mangsa politik
dan korban permainan yang licik.Ianya telah menciptakan berbagai keanehan
dan memutar-belitkan berbagai kebenaran. Sebagaimana ia juga telah membuang
nas-nas Qur'an jauh sekali.
Bolehkah kita bertanya kepada sebahagian ulama kita yang menuliskan
di dalam berbagai kitab mereka tentang bagaimana Rasulullah SAWA sangat
marah sekali kepada Usamah yang datang untuk menjamin seorang perempuan
bangsawan yang telah melakukan jenayah mencuri. Nabi SAWA berkata:"Celaka
engkau, apakah engkau akan memberikan jaminan di dalam hukum hudud Allah.
Demi Allah, seandainya Fatima mencuri maka aku akan potong tangannya. Orang-orang
sebelum kamu celaka lantaran jika kaum bangsawannya mencuri dari golongan
yang lemah maka mereka lakukan kepadanya hukum hudud ".
Bagaimana mereka diam pada seseorang yang telah membunuh kaum Muslimin
yang tidak berdosa, lalu meniduri isterinya di malam itu juga sementara
ia masih menderita kerana kematian sang suami. Baik kalau mereka diam.
Bahkan mereka berusaha mencari alasan untuk membenarkan tindakan Khalid
ini dengan menciptakan berbagai kebohongan dan keutamaan-keutamaannya
sehingga menggelarkannya dengan sebutan "Pedang Allah Yang Terhunus".
Seorang sahabatku yang terkenal dengan gelagatnya yang lucu dan pandai
bermain bahasa, pada suatu hari hadir di majlisku yang pada waktu itu aku
sedang menceritakan tentang keutamaan-keutamaan Khalid bin Walid. Aku katakan
bahawa Khalid bin Walid adalah Pedang Allah Yang Terhunus. Sahabatku menjawab:
Dia adalah Pedang Syaitan Yang Berlumuran (Darah). Aku terkejut sekali
waktu itu. Namun setelah mengkaji, akhirnya Allah bukakan pandanganku dan
dikenalkannya aku pada nilai mereka yang pernah memegang kekuasaan dan
merubah hukum-hukum Allah, meliburkannya serta melampaui batas-batasnya.
Khalid bin Walid juga menyimpan cerita yang terkenal di zaman Nabi SAWA.
Suatu hari baginda mengutusnya pergi ke Bani Juzaimah menyeru mereka kepada
agama Islam dan tidak memerangi mereka. Kabilah ini tidak fasih di
dalam menyebutkan Aslamna (kami telah masuk Islam). Mereka menyebutnya:
Saba'na, saba'na. Lalu Khalid membunuh mereka dan menawan mereka.
Sebahagian tawanan diserahkannya kepada sahabat pasukannya dan menyuruh
mereka membunuhnya. Tetapi mereka enggan kerana tahu yang mereka telah
menganut Islam. Ketika kembali dan diceritakan kepada Nabi, beliau berdoa
kepada Allah: "Ya Allah, aku bermohon perlindunganMu dari apa yang telah
dilakukan oleh Khalid bin Walid", dibacanya dua kali [97].
Kemudian baginda mengutus Ali bin Abi Talib pergi menemui kabilah Bani
Juzaimah sambil membawa harta untuk membayar gantirugi nyawa dan harta
yang telah terkorban, hatta tempat jilatan anjing sekalipun. Rasulullah.berdiri
menghadap Kiblat sambil mengangkat kedua tangannya ke langit sehingga nampak
bahagian ketiaknya. Baginda berdoa: Ya Allah, aku memohon perlindunganMu
dari apa yang telah dibuat oleh Khalid bin Walid". Dibacanya sehingga tiga
kali [98].
Bolehkah kita bertanya, maka letakknya keadilan sahabat yang disangkakan
itu? Seandainya Khalid bin Walid, seorang yang dianggap sebagai tokoh agung
kita sehingga kita memberinya gelaran sebagai Pedang Allah, apakah
Tuhan kita telah menghunuskan pedangnya dan membenarkannya menguasai kaum
Muslimin, orang-orang yang tidak berdosa dan kaum wanita sehingga dia bebas
memperlakukan apa sahaja?
Ini bercanggah sama sekali. Mengingatkan bahawa
Allah melarang tindakan membunuh suatu nyawa dan mencegah perlakuan munkar,
keji dan kezaliman. Tetapi Khalid telah menghunuskan pedang kezalimannya
untuk menceroboh kaum Muslimin dan menghalalkan darah dan harta mereka
serta menawan wanita dan anak-anak mereka. Ini adalah suatu ucapan yang
zalim dan rekaan yang sangat dahsyat. Maha Suci Engkau hai Tuhan kami.
Kau lebih Mulia dan lebih Tinggi dari itu semua. Maha Suci Engkau, tiada
Engkau ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya dengan sia-sia.
Demikianlah dugaan orang-orang kafir. Dan neraka Waillah tempat mereka
kembali.
Bagaimana Abu Bakar, khalifah Muslimin boleh berdiam diri setelah mendengar
perlakuan-perlakuan jenayah tersebut. Bahkan menyuruh Umar bin Khattab
menutup mulutnya tentang perkara Khalid, dan marah kepada Abi Qatadah kerana
sikapnya yang mencemuh kelakuan Khalid. Apakah beliau benar-benar yakin
yang Khalid melakukan takwil dan tersilap? Hujah apa kelak akan dikatakan
kepada orang-orang penjenayah dan fasik jika mereka melanggar hukum-hukum
dan mengatakan telah tersalah takwil?
Aku secara peribadi tidak percaya bahawa Abu Bakar melakukan takwil
terhadap kes Khalid ini, yang dikatakan oleh Umar bin Khattab sebagai "musuh
Allah". Umar berpendapat bahawa Khalid mestilah dihukum bunuh kerana dia
telah membunuh seorang Muslim, atau merejamnya dengan batu kerana dia telah
berzina dengan Laila, isteri Malik. Namun tidak satupun tuntutan Umar tersebut
terlaksana. Bahkan Khalid keluar sebagai pemenang atas dakwaan Umar tersebut.
Mengingatkan bahawa Abu Bakar berdiri membelanya, padahal beliau sangat
mengetahui Khalid lebih dari orang lain.
Ahli-ahli sejarah telah mencatatkan bahawa Abu Bakar telah mengutus
Khalid setelah insiden yang memalukan itu ke Yamamah di mana dia kembali
dengan kemenangan. Di sana Khalid juga telah meniduri seorang perempuan
sama seperti yang dia lakukan terhadap Laila sebelumnya, sedangkan darah
kaum Muslimin dan darah pengikut-pengikut Musailamah belum lagi kering.
Abu Bakar sangat marah sekali pada Khalid lebih dari waktu dia melakukan
skandal yang sama terhadap Laila [99].
Tidak syak lagi bahawa perempuan ini juga mempunyai suami. Kemudian
dibunuhnya oleh Khalid dan isterinya diperlakukan seperti Laila isteri
Malik. Kalau tidak maka Abu Bakar tidak akan memarahinya lebih keras dari
waktu dia melakukannya terhadap Laila. Para ahli sejarah mencatat teks
surat yang diutus Abu Bakar kepada Khalid waktu itu:"Demi nyawaku hai putra
ibunya Khalid. Sungguh engkau tidak melakukan apa-apa melainkan menikahi
perempuan sahaja, sedangkan di halaman rumahmu darah seribu dua ratus kaum
Muslimin masih belum kering lagi [100].
Ketika Khalid membaca kandungan surat ini, dia berkata:"Ini mesti ulah
si A'saar", yang dimaksudkan adalah Umar bin Khattab.
Inilah di antara sebab yang kuat kenapa aku tidak begitu memberikan
penghormatan kepada sahabat-sahabat seumpama ini, pengikut-pengikut mereka
rela atas perbuatan mereka dan yang membela mereka dengan begitu gigih
sekali sehingga mereka mentakwilkan nas-nas yang jelas dan menciptakan
berbagai riwayat yang khurafaat. Semua ini untuk membenarkan tindakan-tindakan
Abu Bakar, Umar, Uthman, Khalid bin Walid, Muawiyah, Amr bin Ash dan saudara-saudaranya.
Ya Allah, aku bermohon ampun dariMu dan bertaubat kepadaMu. Ya Allah
aku bermohon lindunganMu dari segala perbuatan dan ucapan mereka yang meyalahi
hukum-hukumMu, menghalalkan hukum-hukum haramMu dan melampaui batas-batasMu.
Ya Allah aku bermohon lindunganMu dari pengikut-pengikut mereka, syiah-syiah
mereka dan orang-orang yang membantu mereka dengan penuh pengetahun dan
kesadaran. Ampunkanlah aku kerana dahulunya aku mewila' mereka sedangkan
aku masih dalam keadaan jahil. Sementara RasulMu telah bersabda:"Orang
jahil tidak akan dimaafkan kerana kejahilannya".
Ya Allah, pemuka-pemuka kami telah menyesatkan jalan kami dan telah
menutupkan kami tabir kebenaran. Meeka telah menggambarkan kepada kami
para sahabat yang berpaling dari kebenaran sebagai makhluk yang paling
mulia setelah NabiMu. Dan para leluhur kami juga adalah mangsa penipuan
Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Ya Allah, ampunkanlah mereka ampunkanlah
kami. Engkau Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan apa yang tersirat
di sebalik dada. Cinta mereka dan penghormatan mereka kepada sahabat-sahabat
seumpama itu tidak lain kecuali bertolak dari sangka baik yang mereka adalah
pembela-pembela serta pencinta-pencinta RasulMu Muhammad SAWA. Dan Kau
juga Maha Mengetahui wahai Tuhanku, aku rasa cinta mereka dan kami
atas Itrah keluarga Nabi yang suci, para imam yang telah Kau bersihkan
mereka dari segala nista dan mensucikan mereka sesuci-sucinya. Terutamanya
pemuka kaum Muslimin, Amirul Mukminin, Pemimpin Ghur al-Muhajjalin dan
Imam Para Muttaqin, Sayyidina Ali bin Abi Talib.
Jadikanlah aku, wahai Allah di antara syiah-syiahnya dan di antara orang-orang
yang berpegang-teguh kepada tali wila' mereka dan yang berjalan di atas
jalan mereka. Jadikanlah aku ya Allah di antara orang-orang yang bernaung
di bawah naungan mereka, dan di antara orang-orang yang masuk dari pintu-pintu
mereka, sentiasa mencintai mereka, mengamalkan ucapan dan teladan mereka
serta bersyukur atas kemurahan dan anugerah mereka. Ya Allah, bangkitkanlah
aku di dalam gologan mereka. kerana NabiMu SAWA telah bersabda:"Seseorang
akan dibangkitkan bersama orang yang dia cintai".
2. Hadith Bahtera
Bersabda Nabi SAWA:"Sesungguhnya perumpamaan Ahlul Baytku di sisi kalian
adalah umpama bahtera Nabi Nuh di sisi kaumnya. Siapa yang menaikinya akan
selamat dan yang tertinggal akan tenggelam"
[101].
"Dan sesungguhnya perumpamaan Ahlul Baytku di sisi kalian bagaikan Pintu
Pengampunan bagi Bani Israel. Siapa yang memasukinya maka dia akan diampuni"[102].
Ibnu Hajar telah meriwayatkan hadith ini di dalam kitabnya al-Sawaiq
al-Muhriqah dan berkata:"Dasar keserupaan mereka dengan bahtera (Nabi Nuh)
bermakna bahawa sesiapa yang mencintai mereka dan mengagung-agungkan mereka
sebagai tanda terima kasih atas nikmat kemuliaan mereka, serta sebagai
ikut bimbingan ulama mereka maka akan selamat dari kegelapan perselisihan,
sementara mereka yang tidak ikut akan tenggelam di dalam lautan kekufuran
nikmat dan akan celaka di bawa arus kezaliman. Adapun alasan keserupaan
mereka dengan pintu pengampunan - pintu Ariha atau pintu Bayt al-Muqaddis
- dengan sikap rendah hati dan memohon ampunan sebagai sebab pengampunanNya.
Dan Dia juga telah menentukan untuk umat ini bahawa mencintai Ahlul Bayt
Nabi SAWA sebagai sebab diampuninya mereka."
Ingin aku tanyakan Ibnu Hajar, apakah beliau di antara mereka yang ikut
bahtera itu dan masuk pintu ampunan serta ikut bimbingan para ulama mereka?
Atau apakah beliau di antara mereka yang mengatakan sesuatu tetapi tidak
mengamalkannya, bahkan mengingkari apa yang dipercayainya. Banyak sekali
mereka yang kabur ketika aku tanyakan dan berhujah dengan mereka tentang
Ahlul Bayt, mereka menjawabku:"Kami adalah orang yang lebih utama terhadap
Ahlul Bayt dan Imam Ali daripada orang-orang lain, Kami menghormati mereka
dan menjunjung tinggi kedudukan mereka. Tiada siapa pun yang mengingkari
keutamaan-keutamaan mereka".
Ya, mereka mengatakan sesuatu yang tidak sama dengan isi hati mereka,
atau menghormati dan menjujung tinggi Ahlul Bayt namun dalam amalannya
tetap ikut dan taklid kepada musuh-musuh mereka serta orang-orang yang
memusuhi dan menentang mereka. Atau seringkali mereka tidak kenal siapa
itu Ahlul Bayt. Dan jika aku tanyakan mereka menjawab secara spontan: Ahlul
Bayt adalah isteri-isteri Nabi yang telah Allah bersihkan mereka dari nestapa
dan disucikanNya sesuci-sucnya.
Ketika aku bertanya kepada salah seorang di antara mereka tentang Ahlul
Bayt, dia menjawab: Ahlul Sunnah wal-Jamaah semua ikut Ahlul Bayt. Aku
rasa hairan sekali. Aku bertanya bagaimana itu? Jawabnya: Nabi SAWA pernah
bersabda:"Ambillah separuh dari agama kalian dari Humaira' ini, yakni Aisyah".Nah,
kami telah ambil separuh dari agama kami daripada Ahlul Bayt.
Dengan demikian dapatlah dimengertikan sejauh manakah mereka menghormati
dan menyanjung Ahlul Bayt. Namun jika aku soal tentang imam dua belas,
mereka tidak mengenalnya melainkan Ali, Hasan, dan Husayn.Itupun mereka
tidak mengiktiraf keimamahannya Hasan dan Husayn ini. Merea juga menghormati
Muawiyah bin Abi Sufian yang telah meracuni Hasan hingga syahid. Bahkan
mengatakan yang Muawiyah adalah penulis wahyu sebagaimana mereka juga menghormati
A'mr bin Ash seperti mereka menghormati Ali bin Abi Talib.
Sungguh ini adalah percanggahan dan percampuran antara yang hak dengan
batil; suatu usaha untuk menutupi yang terang dengan kegelapan. Kalau tidak
maka bagaimana mungkin hati seorang Mukmin dapat menghimpun rasa cinta
kepada Allah dan cinta juga pada syaitan. Allah berfirman di dalam KitabNya:
"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah, dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya sekalipun orang-orang itu bapak-bapak atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukkanNya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung" (Al-Mujadalah: 22).
FirmanNya lagi: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil
musuhKu dan musuhKu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada
mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang. Padahal
sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu"
(Al-Mumtahanah: 1).
3. Hadith: Siapa Yang Ingin Hidup Seperti Hidupku
Bersabda Nabi SAWA:"Siapa yang ingin hidup seperti hidupku, mati seperti
matiku, tinggal di syurga Ad'n yang ditanam oleh Tuhanku maka jadikanlah
Ali sebagai walinya selepasku dan mewila' walinya serta ikut Ahlul Baytku
yang datang selepasku. Mereka adalah Itrah keluargaku, diciptakan dari
bahagian tanahku dan dilimpahkan kefahaman serta ilmuku. Maka celakalah
orang-orang yang mendustakan keutamaan mereka dari umatku yang memutuskan
tali perhubungan kasih sayang dengan mereka. Kelak Allah tidak akan memberikan
syafaatku kepadanya" [103].
Hadith ini seperti yang kita perhatikan tergolong di antara sejumlah
hadith yang tegas yang tidak dapat ditakwilkan. Ia juga tidak memberikan
hak untuk memilih kepada seorang Muslim, bahkan menafikan sebarang
alasan. Jika ia tidak mewila' Ali dan ikut Itrah keluarga Nabi maka dia
akan diharamkan dari mendapat syafaat datuk mereka Nabi SAWA.
Perlu aku katakan di sini bahawa pada mula kajianku dahuku aku meragukan
tentang kebenaran hadith ini. Aku merasa berat untuk menerimanya lantaran
ia menyirat suatu ancaman kepada mereka yang bertentangan dengan Ali dan
keluarga Nabi khasnya hadith ini juga tidak dapat ditakwilkan. Kemudian
aku rasakan agak ringan ketika aku baca pendapat Ibnu Hajaral al-Asqalani
di dalam kitabnya al-Isabah. Antara lain beliau berkata:"Di dalam sanadnya
ada Yahya bin Ya'la al-Muharibi, seorang yang lemah". Pendapat Ibnu Hajar
ini telah menghilangkan sbahagian keberatan yang ada dalam benakku
kerana aku fikir Yahya bin Ya'la al-Muharibilah yang membuat hadith ini
dan kerananya ia tidak dapat dipercaya. Tetapi Allah SWT ingin menunjukkanku
pada kebenaran dengan sempurnanya.
Suatu hari aku terbacaa sebuah yang berjudul Munaqasat Aqaidiyah
Fi Maqalat Ibrahim al-Jabhan [104].
Buku ini telah menyingkap kebenaran dengan begitu jelasnya. Dikatakan bahawa
Yahya bin Ya'la al-Muharibi adalah di antara perawi-perawi hadith yang
thiqah (dipercayai) yang dipegang oleh Bukhari dan Muslim.Kemudian aku
jejaki dan aku dapati bahawa Bukhari telah meriwayatkan hadithnya
di dalam Bab Ghazwah al-Hudaibiyah Jilid Ketiga di halaman 31. Muslim juga
telah meriwayatkan hadithnya di dalam Bab al-Hudud Jilid Kelima di halaman
119. Az-Zahabi sendiri betapapun ketatnya menganggapnya sebagai perawi
yang thiqah. Para imam al-Jarh wa at-Ta'dil menganggapnya sebagai thiqah,
bahkan Bukhari dan Muslim sendiri berhujah dengan riwayatnya.
Nah, lalu kenapa pendustaan, pembalikan fakta, dan menuduh orang yang
thiqah yang dipercayai oleh ahli-ahli hadith berlaku? Apakah kerana ia
telah menyingkap kebenaran tentang wajibnya ikut Ahlul Bayt, lalu Ibn Hajar
mengecapnya sebagai lemah dan tidak dipercayai? Ibnu Hajar telah lalai
bahawa di belakangnya ada sejumlah ulama yang pakar yang akan menilai setiap
karyanya, kecil ataupun besar. Mereka akan menyingkap segala taksub dan
kejahilannya kerana mereka ikut cahaya Nubuwwah dan berjalan di bawah
bimbingan Ahlul Bayt AS.
Setelah itu aku ketahui bahawa sebahagian ulama kita berusaha bersungguh-sunguh
untuk menutupi kebenaran agar tidak terungkap masalah-masalah sahabat dan
para khalifah yang menjadi pemimpin dan teladan mereka. Itulah kenapa kadang-kadang
mereka mentakwilkan hadith-hadith yang sahih dengan mentafsirkannya dengan
makna yang tidak tepat; atau kadang-kadang mendustakan hadith-hadith yang
bercanggah dengan madzhab mereka walau ianya tertulis di dalam buku-buku
sahih mereka dan dibawa oleh sanad-sanad mereka. Atau kadang-kadang mereka
menghapuskan setengah atau sepertiga isi hadith dan menggantikannya dengan
kata-kata begitu dan begini!!! Atau kadang-kadang mereka meragukan para
perawi yang dipercayai lantaran meriwayatkan hadith-hadith yang tidak sesuai
dengan kehendak mereka. Atau kadang-kadang mereka menulis suatu hadith
di dalam cetakan pertama dari suatu buku, kemudian menghapuskannya di dalam
cetakan ulangan berikutnya tanpa memberikan apa-apa alasan, betapapun diketahui
sebab-sebabnya oleh para pemerhati!
Semua ini telah aku saksikan sendiri ketika aku masih mengkaji dan mencari
kebenaran. Dan aku mempunyai dalil-dalil yang kuat atas apa yang aku katakan
ini. Aku harap mereka tidak mengulangi lagi usaha yang sia-sia ini sekadar
untuk menjustifikasi tindakan para sahabat yang telah berpaling itu. Ini
kerana ucapan-ucapan mereka saling bercanggah dan bahkan bercanggah dengan
fakta sejarah. Cubalah mereka mengikuti yang benar (al-haq), walaupun ianya
pahit. Kerananya mereka akan bahagia dan membahagiakan orang lain
juga, dan bahkan menjadi sebab perpaduan ummah yang telah bercerai -berai
ini.
Bahkan sebahagian sahabat generasi pertama juga tidak jujur di dalam
meriwayatkan hadith-hadith Nabi SAWA. Mereka telah menafikan hadith-hadith
yang tida sejalan dengan kehendak nafsu mereka khasnya jika ianya tergolong
di antara hadith-hadith wasiat yang diwasiatkan oleh baginda Nabi SAWA
di masa-masa sebelum wafatnya. Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAWA berwasiat sebelum wafatnya dengan tiga perkara:1. Keluarkan kaum musyirikin
dari Jazirah Arab 2. Berikan hadiah kepada para utusan (delegasi) seperti
yang aku lakukan.Lalu perawi berkata: Aku lupa yang ketiga [105].
Apakah diterima oleh akal bahawa para sahabat yang hadir yang mendengar
tiga wasiat Nabi itu lupa pada wasiat yang ketiga sedangkan mereka adalah
orang-orang yang menghafal syair-syair panjang setelah mendengarnya sekali
sahaja? Tentu tidak sama sekali. Hanyalah politik yang memaksa mereka melupakannya
dan tidak menyebutnya. Dan ini merupakan musibah lain yang ada pada sahabat-sahabat
itu. Tidak ragu-ragu lagi bahawa wasiat yang dimaksudkan Nabi tersebut
adalah perlantikannya kepada Ali sebagai khalifah setelahnya. Tetapi perawi
itu tidak menyebutnya.
Seseorang yang mengkaji permasalahan ini merasakan yang wasiat itu sebenarnya
berupa perlantikan baginda kepada Ali, walau ianya ditutup-tutupi. Bukhari
dan Muslim dalam Bab al-Wasiyah meriwayatkan bahawa Nabi berwasiat untuk
Ali di tengah kehadiran Aisyah [106].
Lihatlah betapa Allah pancarkan cahayaNya walau orang-orang zalim cuba
untuk menutupinya.
Aku ulangi lagi bahawa jika para sahabat tidak thiqah di dalam meriwayatkan
wasiat-wasiat Nabi SAWA, maka tidak hairan kalau itu berlaku pada Tabi'in
dan Tabi' Tabi'in (generasi selepas sahabat).
Jika Aisyah, Ummul Mukminin, tidak dapat menahan dirinya mendengar nama
Ali disebutkan dan tidak merasa senang, seperti yang dikatkan oleh Ibnu
Saa dalam Tabaqatnya [107],
dan Bukhari dalam kitabnya Bab Nabi Sakit Dan Wafat; dan jika Aisyah sujud
syukur apabila mendengar kewafatan Ali, maka bagaimana dapat diharapkan
yang beliau meriwayatkan wasiat Nabi kepada Ali, sementara beliau sangat
dikenal oleh kalangan khusus dan umum tentang permusuhan dan kebenciannya
terhadap Ali dan anak-anaknya serta Ahlul Bayt Nabi SAWA.
Fala Haula Wala Quwwata illa billa al-A'li al-A'zim.
Siapa Ahlul-Bait Rasulullah (saw)? | |||||
Berdasarkan dalil-dalil dari ayat-ayat Qur'an dan Hadith Rasulullah SAWA
- kebanyakan kitab tafsir dan Hadith menjelaskan bahawa yang
dimaksudkan dengan Ahlul Bayt Rasulullah SAWA ialah lima orang iaitu
Rasulullah SAWA, Ali, Fatimah, Hassan dan Husayn.
Riwayat al-Tarmidzi dari Ummu Salamah menyatakan bahawa ayat: " Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kotoran dari kalian, Ahlul Bayt dan menyucikan kalian dengan sebersih-bersihnya (Quran:33:33)" turun untuk Rasulullah SAWA di rumahku ketika aku sedang duduk di sebelah pintu, aku bertanya: "Ya Rasulullah, bukankah aku juga dari Ahlul Baytmu, beliau mejawab: engkau berada dalam kebaikan, engkau dari isteri-isteriku. Ketika itu Rasulullah SAWA di rumah bersama Ali, Fatimah, Hassan dan Husayn. Kemudian beliau memasukkan mereka di bawah serban beliau seraya bersabda: " Ya Allah, merekalah Ahlul Baytku, maka hilangkan kotoran dari mereka dan sucikanlah mreka sesuci-sucinya." Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan dalam Kitab Fada'il Sahabat bab Fada'il Ahlul Bayt Nabi SAWA, berkata Aisyah bahawa telah keluar Rasulullah SAWA pada suatu hari dengan memakai mard marhal daripada bulu berwarna hitam, kemudian datang Hassan bin Ali lalu dimasukkannya ke dalamnya, kemudian datang Husayn lalu dimasukkannya ke dalamnya, kemudian datang Fatimah dan dimasukkan dia ke dalamnya dan akhir sekali datang Ali dan dimasukkan ke dalamnya, lalu beliau SAWA membaca ayat Quran:33:33, yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kalian dari kekotoran dan menyucikan kalian dengan sebersih-bersihnya."
Dalam tafsir Al-Dur Al-Mantsur, Jalaluddin al-Suyuti menyebut dua puluh
sanad hadith dengan jalan yang beragam, yang semuanya menunjukkan bahawa
yang dimaksudkan dengan Ahlul Bayt di dalam ayat di atas adalah lima
orang seperti di atas.
Adakah para isteri Nabi (saw) termasuk dalam Ahlul-Bait ? Para isteri Nabi (saw) tidak termasuk dalam Ahlul Bayt dalam pengertian yang khusus seperti maksud dan kehendak ayat di atas. Riwayat dari Muslim dari Zaid bin Arqam bahawa: Pada suatu hari Rasul berpidato di hadapan kami dekat suatu danau bernama Khum di antara Mekah dan Madinah, setelah memuji Allah, beliau mulai menasihati kami dan bersabda yang bermaskud: " Wahai manusia.....ketahuilah bahawa aku meninggalkan pada kalian dua benda yang sangat berharga, Kitabullahyang mengandung cahaya dan bimbingan, maka ambillah Kitabullah dan berpeganglah padanya....beliau meneruskan: " Dan Ahlul Baytku, aku memperingatkan kalian tentang Ahlul Baytku, Aku memperingatkan kalian tentang Ahlul Baytku, aku memperingatkan kalian tentang Ahlul Baytku...." Perawi hadith bertanya kepada Zaid bin Arqam, " Siapakah Ahlul Bayt Rasul, adakah isteri-isteri beliau termasuk Ahlul Baytnya? " Zaid menjawab," Tidak, demi Allah, seorang isteri hidup bersama suaminya untuk beberapa waktu dan ketika dicerai ia kembali kepada kaumnya sendiri." Kesimpulannya
Seperti yang diungkapkan oleh Syed Syarafuddin al-Musawi dalam bukunya
al-Kalimah al-Gharra' fi Tafdhil al-Zahra' wal Aqilah al-Wahy bahawa
tidak diragukan lagi Ahlul Bayt yang dinyatakan oleh ayat di atas adalah
lima orang bergelar " Ashab al-Kisa."
Kenyataan ini cukup untuk menyimpulkan bahawa mereka adalah makhluk yang paling mulia dibandingkan seluruh entiti yang mendiami bumi dan langit. Selain dari Rasulullah SAWA, Ali sepupu Nabi yang dinyatakan dalam al-Qur'an (seperti yang dinyatakan dalam Hadith al-Manzillah) sama kedudukannya seperti kedudukan Nabi (Nabi Harun di sisi Nabi Musa), Fatimah al-Zahra merupakan darah daging Nabi yang Nabi SAWA menyatakan bahawa Allah akan marah kerana kemarahannya serta akan rela kerana kerelaannya dan dua buah hati Nabi SAWA di dunia serta cucu kandungnya, al-Hassan dan al-Husayn yang terbunuh syahid dan kelak akan menjadi penghulu pemuda disyurga, berdasarkan dalil yang kukuh dan tidak terbantah. |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar