Selasa, 18 Juli 2017

Ada pun mengenai Hussain, juga telah diberitahu oleh Nabi yang dia akan dibunuh secara kejam di Kufah. Dan itulah yang terjadi apabila Hussain bersama penyokong-penyokongnya telah diserang oleh angkatan Ubaidullah bin Ziyad di Karbala, Kufah pada zaman Yazid bin Muawiyah. Sewaktu kematiannya, kepala Hussain telah dipotong sedang di badannya terdapat 33 bekas pedang dan 34 bekas tombak.....>>

Zaman Nabi Muhammad S.A.W.

https://sejarahtamadunislam.wordpress.com/zaman-nabi-muhammad-s-a-w/

BAB 4: BENARKAH MUHAMMAD ITU RASULULLAH?

Bahawa Muhammad itu seorang Rasul dapat dibuktikan melalui beberapa cara. Pertama berdasarkan berita-berita tentang kedatangan Muhammad seperti yang tersebut dalam kitab Taurat dan Injil (Old & New Testament). Kedua, berdasarkan kedudukannya sebagai ‘AI-Sadiq AI-Amin’, yakni seorang yang benar lagi dipercayai kejujurannya. Dan ketiganya dari ‘Nubuwwah’ Muhammad sendiri, seperti berita-berita ghaib yang telah disebutkan lebih dulu oleh Baginda tentang bakal terjadinya, dan kemudiannya benar-benar telah menjadi kenyataan!

1. KEDATANGAN MUHAMMAD YANG DINANTI-NANTIKAN

Diceritakan bahawa ketika Abdul Mutalib dan bangsawan-bangsawan Quraisy lain mengunjungi Yaman untuk mengucapkan tahniah kepada Raja Saif Zu-Yazin yang baru saja menewaskan Habshah dengan bantuan Parsi, beliau dikatakan sangat mengagumi kebesaran kerajaan Yaman itu. Tetapi oleh Zu-Yazin, dinyatakannya kepada Abdul Mutalib bahawa apabila diperanakkan seorang anak lelaki dari Tihamah (Makkah), dan di antara dua belikatnya ada syamah (tahi lalat besar yang dikelilingi oleh rambut), maka ia akan menjadi pemimpin besar hingga Hari Kiamat. Di sini Zu-Yazin cuba membayangkan tanda-tanda tentang kedatangan seorang pemimpin besar dari keturunannya sendiri, yang kebetulan tanda-tanda itu secocok dengan cucunya Muhammad yang masih kecil. Ini menyebabkan Abdul Mutalib sujud kerana girang.

Cerita ini sengaja dipetik buat menunjukkan bahawa berita tentang kedatangan seorang manusia agung dari keturunan Abdul Mutalib bukannya tidak diketahui oleh bangsa Arab. Apa lagi jika diselidiki. kitab-kitab Taurat dan Injil, lebih jelaslah cerita-certta tentang Muhammad itu disebutkan. Dalam Taurat misalnya, terdapat ayat: “The Lord came from Sinai, and rose up from Seir unto them; he shined forth from Paran, and he came with 10,000 of Saints” (Book of Deutoronomy 33:2). Ayat ini dengan jelas menerangkan tentang cahaya kebenaran yang memancar dari tiga arah yang berlainan; dari Sinai, Seir dan Paran. Tentang Sinai, yang dimaksudkan ialah pengutusan Nabi Musa as. dengan kitab Tauratnya. Dan Nabi Isa as. dengan kitab Injilnya muncul dari Baitul-laham (Bethlehem). Seir adalah sebuah kota kira-kira 1.5 km dari Bethlehem yang kini dikenali sebagai ‘Bait Shair’, iaitu kota pengembala.

Ada pun tentang Paran, Taurat sendiri mengisahkan perihal Nabi Ibrahim a.s. menempatkan isterinya Hajar serta anaknya Ismail di suatu tempat yang sunyi sepi, iaitu padang pasir Paran (Genesis 21:21). Jadi, berdasarkan Taurat sendiri, Paran merupakan suatu kawasan di Hejaz, kerana di sinilah sebenarnya Hajar dan Ismail ditinggalkan oleh Ibrahim a.s. Ahli-ahli geografi menegaskan bahawa Paran ialah kawasan yang terdapat di antara gunung di Makkah, iaitu Abu Qubais, Quiqaan dan Hira’. Dalam kalangan sarjana dikatakan bahawa Jabal-Nur itulah sebenarnya gunung Paran setelah datangnya Islam. Tentang 10,000 of Saints’ itu, Prof. David Benjamin Keldani (kini Abdul Ahad Daud) mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada jumlah pengikut Muhammad s.a.w. yang menakluki Makkah pada 8 H.

Dari kitab Injil pula, kedatangan Muhammad s.a.w. telah disebut dalam ayat berikut: “For Moses truly said unto the fathers, a prophet shall the Lord your God raise up unto you of your brethren, like unto me; him shall ye hear in all things whatsoever he shall say unto you”. (Acts of Apostles 2:22). Mengenai kalimat “unto you of your brethren’, ianya bermaksud bahawa seorang Nabi yang akan diutus adalah dari kalangan saudara Israel (Yaakob), bukannya dari Bani Israel itu sendiri. Sebenamya Bani Ismaillah saudara Bani Israel tersebut, sebab Ismail adalah saudara tua dari Ishak, bapa kepada Yaakob, dan Nabi Muhammad sendiri memangnya jelas dari keturunan Bani Ismail.

Mengenai kalimat “like unto me” pula, maksudnya ialah bahawa Muhammad menyamai Musa dalam banyak hal. Antaranya:

1. Muhammad dan Musa dilahirkan seperti biasa beribu-bapa, sebaliknya Isa hanya beribu sahaja bahkan diciptakan secara ajaib.
2.  Muhammad dan Musa sama-sama berumahtangga dan berkeluarga, sedangkan Isa tetap membujang selama hidupnya.
3.  Baik Musa mahupun Muhammad adalah membawa Syariat baru untuk umatnya, sedangkan Isa hanya sekadar menyambung Syariat Musa. Katanya: “Janganlah kamu sangka aku datang untuk merombak Taurat, melainkan hendak menggenapkan” (St. Mathews 5:17).
4.  Keturunan Musa dan Muhammad adalah jelas dan pasti; sama-sama dari keturunan Nabi Ibrahim. Sedangkan silsilah Isa pula kabur, apa lagi menurut dogma Kristian, Isa adalah anak Tuhan Bapa.
5.  Musa dan Muhammad wafat secara biasa, tetapi Isa menurut dogma Kristian, dibunuh di tiang salib (St. Marks 15:37).
Dengan demikian, jelaslah bahawa Nabi yang dikatakan lahir “dari kalangan saudara-saudara Musa” itu benar-benar ditujukan kepada Muhammad, bukannya Isa. Jelaslah kebenaran Muhammad sendiri sebagai utusan (Rasul) Allah S.W.T. justeru berita tentang kedatangannya telah disebut-sebut dengan jelas dalam Taurat dan Injil, meskipun umat Islam menganggap bahawa isi kandungan kitab-kitab tersebut sudah banyak berubah.

Sebab itulah ketika Muhammad dilahirkan, yang mula-mula meyakini bahawa dialah Nabi yang ditunggu-tunggu ialah kalangan pendita-pendita Nasrani dan Yahudi. Misalnya ketika Muhammad baru berusia 12 tahun, paderi Buhaira sudah pun meyakini bahawa Muhammad itulah bakal Nabi. Sebab itu dia berkata kepada Abi Talib yang datang berdagang ke Sham: “Bawalah kembali anak saudaramu ini, dan jagalah dia dari bahaya kaum Yahudi. Demi Allah, kalau mereka tahu apa yang aku tahu, nescaya mereka apa-apakannya, kerana akan terbit daripadanya urusan yang benar”. Ini menyebabkan Abi Talib bergegas pulang ke Mekah membawa Muhammad.

Dan ketika Muhammad mula-mula menerima wahyu, orang yang pertama menerimanya ialah Waraqah bin Naufal, seorang pendita Nasrani yang alim tentang kitab Injil yang pernah pula menterjemah kitab tersebut ke bahasa Arab. Dikatakan bahawa sewaktu Khadijah, menemui Waraqah, berkatalah Waraqah: “Quddus! Quddus! Demi Tuhan yang menguasai diriku, kalaulah benar katamu wahai Khadijah, maka itulah Namus al-Akbar (Jibril) yang pernah juga datang kepada Musa dulu. Nyatalah bahawa Muhammad suamimu itu adalah Nabi untuk umat ini. Katakanlah kepadanya agar ia tetap tegas”.

Demikian juga ketika Jaafar bin Abi Talib membaca surah Mariam ayat 29-33 di depan Raja Najasyi di Habshah, terkejutlah pembesar-pembesar istana sambil berkata: “Kata-kata yang keluar dari sumber yang mengeluarkan kata-kata Jesus Christ!” Bahkan Raja Najasyi sendiri turut berkata: “Kata-kata ini dan yang dibawa oleh Musa, keluar dari sumber yang sama”.

Tentang golongan Yahudi pula, merekalah yang sebenarnya sangat menanti-nantikan kelahiran seorang Nabi baru. Misalnya ketika mereka kalah dalam pertempuran melawan bangsa Arab Yathrib, selalu benar mereka melaung-laungkan: “Sudah sampai masanya seorang Nabi akan diutus. Kami akan mengikut Nabi itu, dan dengan demikian kami akan kuat dan dapat mengalahkan kamu, seperti dalam peperangan Ad dan Iram”. Malangnya sebaik sahaja orang yang dinanti-nantikan itu datang, mereka menolaknya kerana musuh-musuh mereka lebih dahulu menyahut seruan Muhammad, ditambah pula kerana Nabi tersebut bukannya dari bangsa mereka. Di kala datangnya apa-apa yang telah mereka ketahui itu, mereka kafir dengan dia” (Al-Baqarah: 89). Bagi orang-orang Aus dan Khazraj, pengetahuan mereka tentang Muhammad adalah dari mulut golongan Yahudi juga. Sebab itu apabila mereka diseru oleh Muhammad, mereka berkata: “Sungguh inilah Nabi yang pernah dijanjikan orang-orang Yahudi kepada kita. Jangan sampai mereka mendahului kita”.

Bagaimanapun ada juga pemuka Yahudi menyambut seruan Nabi, seperti Abdullah bin Salam misalnya yang pernah berkata: “Aku dengar darihal Nabi Muhammad dan aku kenal sifatnya, dan zamannya yang kami tunggu-tunggu. Tatkala dia sampai ke Madinah, aku bertemu dengannya, lalu aku masuk Islam, dan aku khabarkan kepada bibiku Khalidah, lalu ia masuk Islam, dan sekalian ahli rumahku pun masuk Islam”. Dan terhadap kaum Yahudi, Abdullah menyeru:”Hai kaumkul Takutlah kepada Allah dan berimanlah kepada Nabi Muhammad ini. Demi Allah, kamu sudah tahu yang ia benar pesuruh Allah, sebagaimana tersebut dalam Taurat namanya dan sifatnya”.

Sebenarnya cerita tentang kedatangan Muhammad bukannya diketahui oleh Raja Salt Zu-Yasin dan Raja Najasyi, bahkan juga oleh Heraclius, raja Rom dun Mugaugis, pembesar Rom di Mesir. Tentang Mugaugis misalnya, beliau melayan dengan baik perutusan Nabi kepadanya ketikai termeterainya Perjanjian Hudaibiah pada 6 H. Dengan mengirim berbagai-bagai hadiah, beliau mengakui yang dia percaya tentang kedatangan seorang Nabi. Cumanya dia tersasul kerana disangkanya kedatangannya ialah di Sham!
Demikianlah beberapa anekdot tenting kepercayaan umum sekitar bakal lahirnya seorang manusia agung; seorang Nabi baru yang takdirnya akan menamatkan siri-siri kerasulan di muka bumi ini.

2. MUHAMMAD SEBAGAI AS-SADIQ AL-AMIN

Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya (sebelum AI-Quran diturunkan). Apakah kamu tidak memikirkannya?” (Yunus: 16).

Jika tadinya Taurat dan Injil sendiri telah menyebut-nyebut tentang kedatangan Muhammad, dan dengan itu membuktikan kebenarannya sebagai Rasulullah, maka dengan lahirnya Muhammad kebenaran tersebut tidak dapat dipertikaikan lagi. Pengakuan tentang kebenarannya tidak lain kerana peribadi dan sirahnya (perjalanan hidup) sendiri, yang sejak belum diutuskan sebagai Rasul lagi sudah terkenal dengan jolokan ‘AISadiq Al-Amin,’ iaitu orang yang benar lagi dipercayai.

Ketika usianya 25 tahun, Muhammad turut membawa barang-barang dagangan Khadijah binti Khuailid ke Sham. Terhadap saudagar-saudagar lain, Khadijah cuma sanggup menyerahkan barang-barangnya sekadar muatan dua ekor unta sahaja, tetapi terhadap Muhammad yang terkenal kerana amanahnya, tanpa ragu-ragu dia menyerahkan barang-barang perniagaannya kepada baginda yang dibawa oleh 4 ekor unta. Dan ketika taKdir menetapkan yang kedua-duanya akan hidup bersama, Khadijah mengatakan: ‘Wahai sepupukul Sesungguhnya saya cinta padamu; pertama kerana kita berkeluarga, kedua kerana engkau dipandang tinggi oleh masyarakat bangsamu, ketiga kerana sifat amanahmu, keempat kerana baik budi pekertimu dan kelima kerana sifat kebenaranmu”.

Pada suatu ketika Abdullah bin Abil-Huma’, seorang rakan seperniagaannya berjanji untuk menemuinya di suatu tempat, tetapi dia sendiri terlupa janjinya itu. Sampai tiga hari tiga malam Nabi menunggunya dI situ, hinggalah pada hari keempatnya kebetulan dia melintasi tempat Itu, Nabi masih berada di situ. Sungguh sesal dia di atas kelupaannya itu, tetapi dengan senyum Nabi mengatakan: “Janganlah difikirkan sangat, mungkin saya yang bersalah. Saya telah berjanji akan menunggu tuan di sini sampai tuan datang, kerana itu saya mesti penuhi janji saya”.

Apabila Muhammad berusia 35 tahun, berlakulah perselisihan diantara suku-suku Quraisy tentang siapakah yang sepatutnya mengangkat Hajar al-Aswad dan meletakkan di tempatnya. Setiap anggota qabilah cuba menegakkan haknya dengan mengangkat sumpah yang terkenal dengan name La’qatud-dam, iaitu sumpah mencecah darah dengan melukakan tangan masing-masing. Sampai lima hari mereka menghadapi kebuntuan, sehinggalah hari keenamnya apabila mereka menerima cadangan Abu Umaiyah AI-Mughirah agar diserahkan penyelesaiannya kepada siapa yang mula-mula memasuki Masjid Al-Haram melalui pintu Bani Syaibah. Kebetulan yang memasukinya ialah Muhammad, hingga dengan riang gembira mereka berseru: “Inilah dia Muhammad Al-Amin, orang yang kami tunggu, kami sekalian rela dengan keputusannya”.

Sewaktu turunnya ayat: “Beri ingatlah terhadap kaum kerabatmu yang dekat” (AI-Syu’ara: 214). Nabi lantas mengundang keluarga Abdul Mutalib di Bukit Safa dan berseru: “Bagaimana pendapatmu sekalian jika kuberitahu kamu bahawa di kemuncak bukit ini ada pasukan berkuda hendak menyerang kamu. Percayakah kamu?” Maka jawablah mereka: “Ya, engkau tidak pernah disangsikan. Belum pernah kami engkau berdusta”.

Ketika surat Nabi sampai kepada Heraclius, raja Rom di BaitulMaqdis, ia memanggil orang-orang Arab Makkah yang kebetulan berdagang di situ. Kepada mereka Heraclius menyoal apakah mereka menuduh Muhammad pernah berdusta sebelum ia mengaku menjadi Nabi, mereka menjawab ‘tidak’. Mendengarnya Heraclius lalu berkata: “Orang yang tidak berdusta kepada manusia, tidak bisa jadi berdusta atas nama Allah”.

Heraclius hanyalah seorang daripada musuh-musuh besar Nabi yang turut mempercayai sifat kebenaran Nabi. Selain beliau, Abu Jahal yang juga musuh ketat Nabi turut mengakui: “Kami tidak dustakanmu, ya Muhammad, tetapi kami menolak agama yang engkau bawa”. Demikian juga pendapat Al-Nadhir Al-Harith, musuh Nabi juga:”Adalah Muhammad di antara kamu seorang anak muda yang paling disukai dan paling besar amanahnya, tetapi apabila ia membawa kepada kamu apa yang ia bawa, maka kamu katakan dia ahli sihir. Demi Allah, dia bukanlah ahli sihir”.

Kepercayaan musuh-musuh Muhammad terhadap kejujurannya bukan hanya sebelum kerasulannya, bahkan selepasnya juga. Kerana sifat amanahnya itulah mereka sanggup menyerahkan barang-barang kepunyaan mereka kepada baginda untuk dijaganya. Sampailah berlakunya Hijrah, barulah barang-barang tersebut diserahkannya kembali kepada pemiliknya masing-masing yang mana termasuk musuh-musuh Islam juga!

3. NUBUWWAH MUHAMMAD

Jika sebelum kerasulannya Muhammad sudah terkenal sebagai seorang yang benar lagi dipercayai, maka selepas kerasulannya ‘Nubuwwah’ itu sendiri semakin menguatkan kebenaran risalahnya. Yang dimaksudkan dengan ‘Nubuwwah’ ialah berita-berita ghaib atau ‘ramalan-ramalan’ tentang masa depan sesuatu dan tepatnya berita-berita ghaib itu dengan kenyataan dengan sendirinya membuktikan kebenaran Muhammad sebagal Rasulullah. Tuhan Yang Maha Mengetahui yang ghaib, dan Dia tidak menyatakan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya” (Al-Jin: 26-27). Dan Muhammad sendiri pun mengakui bahawa tidaklah dia mengetahui yang ghalb, kecuali apa yang diwahyukan kepadanya (Al-An’am: 50).

Di antara contoh-contoh Nubuwwah tersebut ialah mengenai kerajaan Rom Timur (Byzantine). Kerapkali apabila kaum musyirikin menentang kaum Muslimin di Makkah, mereka mengatakan bahawa bangsa Rom yang mempunyai kitab Injil telah dikalahkan oleh Parsi yang beragama Majusi. Dengan itu mereka yakin dapat mengalahkan kaum Muslimin, kerana kaum Muslimin juga dari ahli Kitab. Dari peristiwa ini turunlah ayat: “Telah dikalahkan kerajaan Rom, dan mereka setelah dikalahkan itu menang dalam beberapa bidh’i lagi” (Al-Rum: 24). Ketika turun ayat ini, Rum baru saja dikalahkan, iaitu antara tahun 614-615 M. Tetapi tujuh tahun kemudian, mereka dapat merebut kemenangannya kembali. Alangkah tepatnya ayat Al-Quran tersebut, sebab kalimat “bidh’i” itu bermaksud di antara 3-9 tahun!

Lantaran keyakinannya tentang kebenaran firman Allah S.W.T. itulah maka Abu Bakar berani bertaruh dengan Ubayy bin Khallaf yang berakhir dengan kemenangan Abu Bakar. Sebenarnya pertaruhan ini bukannya perjudian, sebab judi berdasarkan keuntungan, sedangkan tindakan Abu Bakar itu semata-mata berasaskan keyakinannya yang penuh terhadap kebenaran Al-Quran.

Sewaktu berlakunya peristiwa pemboikotan terhadap keluarga Bani Hashim, Rasulullah lalu memberitahu pakciknya Abu Talib bahawa surat perjanjian yang mereka (ketua-ketua Quraisy) gantungkan di Kaabah itu sudah dimakan anai-anai, kecuali nama Allah. Lalu keluarlah Abu Talib ke masjid dan menyampaikan kepada kaum Quraisy kenyataan Muhammad itu. Katanya: “Anak saudaraku itu tidak pemah berdusta. Marilah kita periksa. Kalau dia betul, hendaklah kamu berhenti daripada memboikot kami. Tetapi kalau ia berdusta, aku akan serahkannya buat kamu membunuhnya”. Tawaran Abu Talib itu disambut baik, lalu mereka pun menuju ke Kaabah untuk melihat surat perjanjian itu. Alangkah terkejutnya mereka kerana mendapatinya tepat sepertimana perkataan Muhammad. Mustahil Muhammad dapat mengetahuinya, kerana surat itu ditaruh dalam Kaabah di suatu tempat yang tersimpan dan berkunci, sedang kuncinya pula dipegang oleh kaum Quraisy sendiri!

Selepas peperangan Badar yang membawa kekalahan kaum musyrikin, bertekadlah Umair di depan Safwan untuk membunuh Muhammad, kerana anaknya telah ditawan. Ketika dia menemui Nabi di Madinah, dia menyatakan maksud kedatangannya cuma tentang urusan anaknya tersebut. Mendengarnya Nabi memaksa Umair agar memberitahu maksud sebenar kedatangannya, namun jawapannya tetap sama. Akhirnya Nabi pun berkata: ‘Tidak, tetapi engkau dan Safwan duduk di pinggir Kaabah dan kamu beromong-omong begini dan begitu…” Di saat ini juga Umair masuk Islam, sambil berkata: “Dahulu kami dustakanmu tentang khabar yang datang kepadamu dari langit, tetapi dalam urusanku tidak ada yang hadir melainkan aku dan Safwan”.

Salah seorang tawanan Nabi ialah Abbas bin Abdul Mutalib, pakciknya sendiri. Ketika Nabi meminta agar dibayar wang tebusannya, dia lalu membayarnya sambil berkata kepada Nabi: “Sesungguhnya engkau telah jadikan daku seorang miskin dalam bangsa Quraisy seumur hidupku”. Maka bersabdalah Nabi: “Bagaimana boleh jadi? Padahal engkau tinggalkan beberapa harta benda kepada Ummul-Fadhl, dan engkau berkata kepadanya: Kalau aku mati, engkau jadi perempuan yang kaya”. Lantaran terkejut, Abbas pun berkata: “Demi Allah! Tidak seorang pun yang tahu hal ini!”

Ketika berlakunya peperangan Muktah di Sham, Nabi yang berada di Madinah berkata sambil berlinangan air matanya: ‘Telah mati Zaid, telah mati Jaafar, telah mati lbnu Rawahah, lalu panji-panji itu diambil oleh suatu pedang dari pedang-pedang Allah” (maksudnya Khalid Al-Walid). Sesudah peperangan datanglah berita seperti yang dikhabarkan tersebut! Siapakah yang memberitahu kejadian-kejadian di negeri Sham yang begitu jauh dari Madinah kalau bukan Tuhan yang mengutusnya sebagai Rasul?

Nabi juga menyatakan bahawa puterinya Fatimah adalah orang yang mula-mula sekali akan menyusuli kewafatannya kelak. Dan benar sekali kerana 6 bulan selepas kewafatan baginda, Fatimah pun meninggal. Dengan kematiannya barulah Ali bin Abu Talib membaiat Abu Bakar sebagai Khalifah. Tentang Ali, Nabi pernah mengatakan bahawa dia akan mati terbunuh ketika berpuasa dengan suatu pukulan di kepala sewaktu sedang sujud. Memang benarlah Nabi kerana Ali telah terbunuh dengan pukulan pedang oleh Abdul Rahman bin Muljam ketika beliau sedang mengerjakan sujud pertama dalam solat Subuh pada bulan Ramadan.

Mengenai kejadian-kejadian yang bakal menimpa putera-putera Ali, iaitu Hassan dan Hussain, turut juga disebut-sebut oleh Nabi. Terhadap Hassan, Nabi mengatakan: “Sesungguhnya anakku Hassan ini (akan menjadi) seorang ketua, dan mudah-mudahan Allah akan damaikan dengan perantaraannya antara dua golongan yang besar dari kaum Muslimin”. Demikianlah yang terjadi kemudiannya, apabila Hassan yang mengganti ayahnya telah menyerahkan jabatan Khalifah kepada Muawiyah di Kufah pada tahun 661 M. Ada pun mengenai Hussain, juga telah diberitahu oleh Nabi yang dia akan dibunuh secara kejam di Kufah. Dan itulah yang terjadi apabila Hussain bersama penyokong-penyokongnya telah diserang oleh angkatan Ubaidullah bin Ziyad di Karbala, Kufah pada zaman Yazid bin Muawiyah. Sewaktu kematiannya, kepala Hussain telah dipotong sedang di badannya terdapat 33 bekas pedang dan 34 bekas tombak.

Di zaman pemerintahan Usman bin Affan, meninggallah Abu Zar Al-Ghifary, salah seorang sahabat besar Nabi. Sebenarnya kematian Zar telah pun disebut-sebut oleh Nabi sewaktu tentera-tentera Muslimin sedang dalam perjalanan menuju Tabuk. Oleh kerana unta yang dinaiki oleh Abu Zar tercedera, terpaksalah ia berjalan kaki seorang diri untuk menyusuli pasukannya yang agak jauh meninggalkannya. Ketika pasukan Muslimin sedang berehat di suatu tempat, kelihatanlah Abu Zar sedang berjalan sendirian di lereng-lereng bukit. Maka bersabdalah Rasulullah: “Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Abu Zar. la berjalan seorang diri, dan ia juga akan meninggal seorang diri, dan akan di bangkitkan pada Hari Akhirat seorang diri juga”. Apa yang berlaku kemudiannya ialah Abu Zar meninggal seorang diri ketika dalam pembuangan oleh Usman bin Affan. Apabila mayatnya dijumpai oleh Abdullah bin Mas’ud, maka menangislah ia sambil berkata: ‘Sungguh benarlah Rasulullah bahawa Abu Zar meninggal seorang diri”

Rasulullah juga telah memberitahu beberapa peristiwa yang kemudiannya benar-benar berlaku ketika tercetusnya peperangan Jamal dan Siffin di zaman Ali bin Abu Talib. Terhadap Zubair Al-Awwam, Nabi berkata: “Nanti engkau akan memerangi Ali, dan dalam hal ini engkau yang akan menganiaya”. Apa yang jelas ketika pertempuran Jamal sedang sengit ialah bahawa Zubair telah melarikan diri, kerana kurang yakin apakah penentangannya terhadap Ali benar atau tidak. Tentang Ammar bin Yasir, Nabi bersabda: “Kasihan Ammar, dia akan dibunuh oleh golongan yang menderhaka”. Demikianlah yang terjadi kemudiannya di mana Ammar telah mati terbunuh oleh tentera-tentera Muawiyah di dalam peperangan Siffin.

Pada zaman Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai Khalifah, telah meninggal pula Abu Ayub AI-Ansari, sahabat besar Nabi. Kematiannya ketika dalam peperangan dan mayatnya yang ditanam di bawah benteng Constantinople menjadikan apa yang diberitahu oleh Nabi lebih dulu terbukti kebenarannya.

Demikianlah sekelumit daripada Nubuwwah Muhammad. Kebenaran demi kebenaran terhadap apa yang telah diberitahunya terlebih dahulu menimbulkan suatu pertanyaan: Dari manakah Muhammad mengetahui semuanya itu? Kalau ia bukannya Rasulullah, bolehkah dia mengetahuinya?

BAB 5: DAKWAH ISLAM DI MAKKAH

Ketika Muhammad menjangkau usia 40 tahun, turunlah wahyu pertama pada malam Isnin 17 Ramadan yang menandakan dengan rasminya dia dilantik sebagai Rasulullah (utusan Allah). Dengan ayat Al-lqra’ dan diikuti oleh ayat-ayat lain selepasnya, maka bermulalah siri-siri dakwah Islamiah di Makkah.
Dalam mengatur strategi dakwah Islamiah, Rasulullah sentiasa berpadu kepada ‘hikmah’ (Al-Nahl: 125). Mulanya baginda menyeru kepada sahabat-sahabatnya sahaja, kemudian kepada keluarganya yang terdekat, dan akhimya barulah kepada masyarakat umum secara terang-terangan.

1. INTISARI AJARAN ISLAM DI MAKKAH

Menurut Syed Qutb, persoalan utama yang dibawa oleh Rasulullah di Makkah ialah persoalan AQIDAH. Persoalan ini memangnya tidak mudah diterapkan ke dalam hati orang-orang Arab, namun ianya tetap dititikberatkan oleh Rasulullah meskipun dia menyedari ranjau-ranjau yang bakal ditempuhinya sepanjang jalan.

Bagi Syed Qutb, inilah dia tabiat program Al-Quran yang sebenarnya. Sungguhpun ketika itu orang-orang Arab menghadapi ancaman kuasa-kuasa Rom dan Parsi, namun Rasulullah tidaklah menyeru ke arah chauvinisme atau nasionalisme Arab, sebab ini bermakna lepas bebas dari tangan ‘taghut’ berbangsa Rom atau Parsi untuk berpindah tunduk kepada ‘taghut’ berbangsa Arab! Dan sungguhpun masyarakat Makkah ketika itu menghadapi tekanan kaum-kaum kapitalis Quraisy, namun Rasulullah tidak pula menyeru ke arah sosialisme, sebab keadilan sosial yang hakiki hanya dapat tegak dalam masyarakat yang tulen pengabdiannya kepada Allah. Dan akhirnya walaupun masyarakat Arab ketika itu sedang mengalami penyakit akhlak yang menjadi-jadi, namun Rasulullah tidaklah menjadikan perjuangan meninggikan tingkatan moral itu sebagai tujuan utamanya, sebab moral yang baik tidak dapat tegak melainkan di atas asas Aqidah yang murni dan kukuh.

Maka demi menegakkan Aqidah yang benar, diajarkanlah bahawa hanya Allah sahajalah yang layak disembah atau diminta pertolongan, bukannya menyembah berhala-berhala atau mengabdi kepada sesama manusia sendiri. Penyembahan kepada berhala-berhala harus ditolak, kerana ia tidak berkuasa apa-apa, bahkan dirinya sendiri diciptakan orang (Al-Furqan: 3). Demikian juga pengabdian kepada sesama manusia harus dikikis, sebab tujuan pokok kedatangan Islam ialah untuk memproklamasikan kebebasan manusia di muka bumi daripada mengabdikan diri kepada yang lain daripada Allah. Dan menurut Islam, penghambaan yang paling besar ialah sifat patuh dan tunduk manusia kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sendiri!

Berkait rapat dengan persoalan Aqidah ini ialah ajaran Islam tentang adanya Hari Berbangkit (Kiamat) Bagi sebahagian masyarakat Arab ketika itu, yang ada cuma kehidupan dunia sahaja; dengan matinya manusia bermakna tamatlah segala-galanya. Hakikat wujudnya jenis manusia seperti ini digambarkan dalam Al-Quran: “Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja. Kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa” (Al-Jasiyah: 24). “Mereka berkata: “Apakah betul, apabila kami telah mati, dan kami telah menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah kami sungguh-sungguh akan dibangkitkan?” (Al-Mukminun: 82). “la berkata: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang, yang telah hancur luluh?” (Yaasin: 78).

Dari segi sosialnya, adalah jelas bahawa masyarakat Arab mengamalkan sistem kelas di samping merendahkan darjat kaum wanita. Kelas tertinggi adalah terdiri dari kalangan aristokrat Quraisy sahaja, dengan keistimewaan dan kuasa yang tak terbatas. Sedangkan kaum hamba abdi bukan sahaja dinafikan haknya, bahkan batang tubuhnya sendiri dapat dijual-beli begitu saja. Tetapi berkat ajaran Islam, semua golongan proletar itu dibanteras oleh Muhammad; kebanyakannya dengan pertolongan hartawan-hartawan Muslim. Kepada mereka diajarkan bahawa tindakan membebaskan hamba adalah sebaik-baik kebajikan “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Tetapi dia tidak menempuh jalan kebajikan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan tersebut? laitulah: Merdekakan hamba” (Al-Balad: 10-13). Adapun tentang kaum wanita, darjat dan hak mereka telah diletakkan pada tempat yang sewajarnya, baik di dunia mahupun di akhirat (Al-Mukmin: 40).

Selain dari itu, ajaran-ajaran di Makkah juga menekankan kisah-kisah umat-umat yang lalu, khasnya kisah perjuangan Nabi-Nabi agar menjadi tauladan bagi umat-umat selepasnya. “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal” (Yusuf: 111). “Maka ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir” (Al-A’raf: 176). Betapa pentingnya mengkaji sejarah dalam Islam terbukti jelas apabila para ulama mengatakan bahawa 1/3 daripada kandungan Al-Quran adalah membicarakan soal-soal sejarah. Kecuali surah Al-Baqarah, setiap surah yang menceritakan kisah Nabi-Nabi dan umat dahulu kala adalah merupakan ayat Makkiyah. Dan kecuali surah Al-Baqarah juga, setiap surah yang mengisahkan Nabi Adam a.s.dan Iblis adalah juga ayat Makkiyah.

Akhirnya sungguhpun persoalan moral bukannya perjuangan utama Rasulullah di Makkah, tetapi tidak pula soal ini diketepikan sama sekali. Sejajar dengan sabdanya sendiri: ‘Tidaklah aku utuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak”, maka kegiatan dakwah Muhammad banyak sekali menekankan tentang usaha-usaha pembentukan peribadi Muslim – membuang perangai-perangai yang tercela (mazmumah) dan menggantikannya dengan perangai-perangai yang mulia (mahmudah). Di antara sifat-sifat ‘mazmumah’ ialah hasad dengki (AI-Falaq) dan takabbur (Luqman: 18) sedangkan sifat-sifat ‘mahmudah’ antara lainnya ialah bersikap baik kepada orang tua (Al-Isra’: 23-24) dan memelihara amanat dan janji (Al-Mukminun: 8). Usaha-usaha pembentukan peribadi dan pendidikan (ta’dib) jiwa ini penting sekali, sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang cabaran yang bakal mendatang.

Demikianlah antara lain intisari ajaran Islam di Makkah; ajaran mana yang lebih menekankan persoalan Aqidah daripada soal-soal lain. Hanya setelah Agama Islam tersebar ke Madinah itulah baru corak dakwah kini memberi perhatian terhadap soal-soal pembentukan masyarakat dan Negara Islam.

2. PENENTANGAN KAUM BANGSAWAN DAN CARA NABI MENGHADAPINYA.

Dengan ajaran-ajaran yang sedemikian rupa, tidak hairanlah jika-lau ianya dengan cepat menarik perhatian golongan bawahan, khasnya dari kalangan hamba abdi. Namun tidak sedikit pula golongan atasan yang menyambut baik, seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Bagaimanapun kebanyakan kaum bangsawan menolaknya. Bagi mereka, agama paganisme itulah Sunnah, sedangkan ajaran Islam itu merupakan Bid’ah belaka! Kerana ianya Bid’ah (ciptaan baru), perlulah ia ditentang agar tidak cepat merebak dan menggugat Sunnah (tradisi nenek-moyang) mereka.

Langkah pertama yang mereka lakukan ialah memujuk penyair-penyair mereka, seperti Abu Sufyan bin Al-Harith, Amru ibnul-Ass dan Abdullah ibnuz-Ziba’ra supaya mengejek dan menyerang ajaran-ajaran Islam. Tetapi serangan-serangan mereka tidak sampai ke mana disebabkan penyair-penyair Muslimin sendiri tampil membalas serangan mereka. Namun mereka terus melancarkan perang saraf, menabur dakyah-dakyah jahat terhadap ajaran Islam serta peribadi Muhammad sendiri. Bagaimanapun pada peringkat ini mereka tidak dapat berbuat apa-apa terhadap batang-tubuh Muhammad, kerana ianya dilindungi oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kerana sukar mengganggu Muhammad, serangan mereka lalu ditujukan kepada pengikut-pengikutnya yang terdiri dari golongan-golongan hamba dan yang lemah sahaja. Bilal bin Rabah misalnya, lantaran keIslamannya lehernya telah dijerut oleh tuannya Umayyah bin Khallaf. Kemudiannya disuruh kanak-kanak menyeretnya ke gurun pasir sewaktu panas terik, lalu dadanya ditindih pula dengan batu besar. Demikian juga keluarga Yassir yang diseksa oleh kaum Quraisy, sehingga Yassir dan isterinya Sumaiyah menemui syahid kerana itu. Termasuk juga Amir bin Fuhairah yang diseksa oleh tuannya hingga menjadi tidak siuman, Zunaizah hamba perempuan yang diseksa oleh tuannya Abu Jahal hingga buta matanya, dan juga Labibah yang diseksa terus menerus oleh tuannya Umar Al-Khattab (sebelum keislamannya). Maka buat mengatasinya ramailah hartawan-hartawan Muslim seumpama Abu Bakar yang bertindak menebus atau memerdekakan mereka.
Tekanan-tekanan tersebut rupanya tidaklah mendatangkan sebarang hasil, sebaliknya penganut-penganut Islam bertambah tebal keimanannya. Sebab itu bentuk penentangan kini bertukar corak; daripada menentang golongan hamba sahaja kepada menentang semua pengikut-pengikut Islam. Dengan demikian ramailah bangsawan-bangsawan yang disegani seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Osman bin Affan, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan Zubair Al-Awwam tidak luput dari penyeksaan-penyeksaan mereka. Akibat semuanya ini memaksa Nabi memikirkan suatu tempat yang lebih selamat buat mereka, dan negeri itu tidak lain dari Habshah yang mana cukup diketahui oleh baginda tentang kebaikan rajanya, Najasyi. Dengan itu berlakulah Hijrah pertama dalam sejarah Islam di mana seramai 14 orang dan kemudiannya hampir 100 orang telah berangkat ke Habshah. Kerana bimbang tentang kemungkinan tersebar luasnya Islam di sana maka orang-orang Quraisy segera mengutus Amru ibnul-Ass dan Abdullah bin Abi Rabi’a untuk meminta agar Raja Najasyi memulangkan mereka kembali ke Makkah, tetapi gagal setelah Najasyi mendengar hujjah-hujjah Jaafar bin Abu Talib.
Tidak beberapa lama di Habshah, tersebarlah khabar-khabar angin tentang adanya kebebasan beragama di Makkah, juga adanya semacam perdamaian (Al-Gharaniq) dengan kaum musyirikin di sana. Tetapi sebaik sahaja mereka pulang ke Makkah, didapati permusuhan terhadap kaum Muslimin tetap seperti dulu. Dengan itu tiada seorang pun yang dapat memasuki Makkah dengan selamat, kecuali secara bersembunyi-sembunyi atau di bawah perlindungan seseorang penaung tertentu (Qanun Al-Jiwar).
Setelah semua bentuk tekanan itu tidak mampan, akhirnya barulah pemuka-pemuka Quraisy mengalih perhatian kepada Muhammad, penganjur Islam itu sendiri. Dalam mengatur langkahnya, mulanya mereka bertindak secara diplomasi, sama ada dengan memujuk atau mengumpan baginda dengan berbagai bentuk rasuah, baik melalui Abu Talib mahupun terus kepada Muhammad sendiri. Kerana gagal kesemuanya, akhirnya mereka bertindak dengan memboikot seluruh Bani Hashim. Pemboikotan ini memaksa Muhammad menyuruh pengikut-pengikutnya sekali lagi berhijrah ke Habshah.
Bagaimanapun kesan yang paling hebat akibat pemboikotan itu ialah kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah, dua orang pembantu dan pelindungnya juga. Dengan kematian mereka, maka terbukalah kesempatan bagi orang-orang Quraisy untuk menghapuskan Muhammad. Sedang Muhammad sendiri sudah mulai berdakwah ke luar kota Makkah, seperti di Taif dan kepada jemaah-jemaah Haji. Memandangkan tekanan-tekanan terhadap Nabi dan pengikut-pengikutnya semakin hebat, akhirnya datanglah perintah Allah agar baginda berhijrah ke Madinah.
Sebelum persoalan ini ditamatkan, ada baiknya disebutkan bahawa selama berlangsungnya kegiatan dakwah Islamiah di Makkah, kaum Muslimin ada kalanya mendapati terpaksa berlindung di bawah naungan kaum musyrikin (Qanun Al-Jiwar). Bahkan Rasulullah sendiri sejak mula sehinggalah berlakunya Hijrah adalah dilindungi dan dibantu oleh seorang musyrik, iaitu bapa saudaranya sendiri Abu Talib. Di sini timbullah suatu ketentuan, bahawa dalam berdakwah, kaum Muslimin dibolehkan meminta perlindungan atau bantuan daripada orang-orang bukan Islam demi untuk mengelakkan gangguan atau rintangan terhadap usaha-usahanya. Bagaimanapun dalam meminta bantuan mereka, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, hendaknya orang tersebut sudah dikenal kejujurannya dan tidaklah mungkin mereka itu akan berkhianat.

3. SEBAB-SEBAB PENENTANGAN

Dalam sejarah mana-mana pun juga, biasanya mereka yang pertama-tama sekali menolak sesuatu gerakan pembaharuan ialah golongan bangsawan (Al-Mala’). Jadi untuk mengkaji kenapa timbul penentangan terhadap ajaran-ajaran Muhammad ini adalah sebenarnya untuk mengkaji kenapa golongan Al-Mala’ ini menolaknya. Bukannya tidak ada kalangan atasan yang menerimanya, seperti Abu Bakar AI-Siddiq, Usman Affan, Zubair Al-Awwam dan lain-lainnya, tetapi jumlahnya terlalu kecil berbanding dengan golongan kebanyakan (Jumhur) yang telah menyambut baik seruan Muhammad itu.
1.  Ketika membicarakan sebab-sebab penentangan orang-orang Arab terhadap dakwah Islam, Syed Qutb sekali lagi menegaskan bahawa faktor AQIDAH-lah yang menyebabkan mereka menentang begitu hebat dan memeranginya habis-habisan. Ini kerana mereka cukup mengerti implikasinya bahawa pengakuan bertuhan itu bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah yang tertinggi. Mereka mengerti juga bahawa mengesakan Allah melalui ikrar LA ILAHA ILLALLAH (Tiada Tuhan melainkan Allah) itu adalah bererti mencabut semua sekali kuasa yang dibolot oleh penguasa-penguasa, ketua-ketua suku, para paderi dan pendita, dan menyerahkan kuasa itu kepada Allah sahaja. Mereka mengerti bahawa LA ILAHA ILLALLAH itu adalah merupakan cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi dan juga suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan ciptaan manusia selama ini!
Apa yang dikatakan oleh Syed Qutb tentang faktor AQIDAH itu pada hakikatnya adalah jua faktor politik. Penerimaan orang-orang Arab terhadap kekuasaan Allah bermakna kepimpinan mereka akan tercabar dan tergugat. Sebab itu pengaruh Islam harus disekat, agar pengaruh mereka masih tetap kukuh.
2  Dari segi politiknya, Islam terpaksa ditentang kerana ia dibawa oleh Muhammad dari keturunan Abdul Manaf. Sesungguhnya kaum Quraisy tidak dapat membezakan antara kenabian dengan kekuasaan. Bagi mereka, kemunculan Muhammad dari keluarga Abdul Mutalib dengan sendirinya akan mencabar kedudukan suku-suku lain yang telah sekian lama berebut pengaruh. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mengintip-ngintip Muhammad membaca AI-Quran, terus terang Abu Jahal mengakui betapa selama ini mereka saling menandingi pengaruh Abdi Manaf, tetapi bila mana kemenangan hampir terbayang, tiba-tiba di sisi Abdi Manaf muncullah Muhammad memaklumkan kenabiannya. Tidak, kami tidak akan percaya dan tidak akan membenarkannya, ujar Abu Jahal.
Sebagai golongan masyarakat yang mementingkan nilai-nilai ‘Asabiyyah’ (kesukuan), timbulnya Muhammad dari suku tertentu sudah tentu akan mencabar suku-suku lain. Justeru kerana semangat kesukuan inilah juga munculnya Nabi-Nabi palsu, baik ketika Muhammad masih hidup dan lebih-lebih lagi selepas wafatnya, semata-mata buat menandingi suku Quraisy. Maka tampillah Musailamah dari Bani Hanifah, Sajjah dan Bani Tamim dan Tulaihah dari Bani Asad. Semuanya ini kerana tebalnya semangat sukuisme serta hasad dengki antara mereka.
Dari segi sosialnya, Islam perlu ditentang kerana ia mengajarkan prinsip persamaan dalam kalangan sesama manusia. Dalam Islam, tinggi-rendahnya darjat insan diukur berdasarkan takwanya kepada Allah S.W.T. (Al-Hujurat: 13,Ali Imran: 76) atau amal solehnya (Al-Bayyinah: 7) Prinsip seperti ini tentunya bercanggah dengan sistem sosial mereka yang berasaskan konsep kelas dengan hak dan kewajipan yang berbeza. Status tertinggi selamanya adalah kepunyaan golongan bangsawan, sedangkan kelas terendah ialah golongan hamba abdi. Maka demi mempertahankan status quonya, Muhammad harus ditentang. Alangkah kejinya ajaran yang cuba menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan hamba mereka sendiri!
Pernah sewaktu Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan yang baru memeluk Islam sedang mengerjakan tawaf, terpijaklah tepi jubahnya oleh orang kebanyakan. Jabalah lalu memukulnya sehingga berdarah hidungnya. Setelah menerima aduan dari orang tersebut Khalifah Umar AI-Khattab lalu memutuskan agar Jabalah dipukul balas. Lantaran tidak puas hati terhadap corak penyelesaian yang ‘aneh’ itu, Jabalah kembali murtad. Ini menjelaskan suatu hakikat betapa pengaruh kebangsawanan itu begitu tebal hingga sukar bagi mereka untuk menerima Islam.
Apa lagi jika difikirkan yang agama tersebut dibawa oleh seorang anak yatim piatu yang tidak punyai kedudukan apa-apa dalam kalangan masyarakat Arab, sungguhpun ianya keturunan Quraisy. Pernah AI-Walid bin AI-Mughirah mengatakan: “Wahyu didatangkan kepada Muhammad, bukan kepadaku, pada hal aku kepala dan pemimpin Quraisy. Juga tidak kepada Abu Mas’ud Amr bin Umair AI-Saqafy, pemimpjn Thaqif. Kami adalah pembesar dua kota”‘.
Alasan lain yang dikemukakan oleh kaum bangsawan ketika menentang Muhammad ialah kerana ajaran Islam telah memecahbelahkan perpaduan masyarakat dan keluarga; baik antara orang tua dengan anaknya, antara suami dengan isterinya mahupun antara sesama saudaranya. AI-Walid bin AI-Mughirah sendiri pemah menuduh Muhammad itu sebagai ‘Sahir-bayan’ (Juru Pesona Bahasa), kerana apa yang dikatakannya merupakan pesona yang akan memecah-belahkan perpaduan sesebuah keluarga. Demikian juga hasrat Umar Al-Khattab untuk membunuh Muhammad mulanya adalah dengan harapan agar bebaslah Quraisy dan mereka kembali bersatu, setelah mengalami perpecahan dan penghinaan terhadap berhala-berhala mereka. Bahkan Utbah bin Rabiah secara terus terang berkata di depan Nabi: “Anakku, seperti engkau ketahui, dari segi keturunan, engkau mempunyai tempat dalam kalangan kami. Engkau telah membawa soal besar ke tengah-tengah masyarakatmu, sehingga mereka cerai-berai kerananya …”
4.  Penentangan orang-orang Arab juga dapat dilihat dari aspek ekonomi. Kaum pemodal menganggap bahawa moral itu benar adanya bila mana ia dapat melipat-gandakan hartanya, bila mana ia dapat membukakan jalan buat hawa nafsunya. Tetapi bila mana ia menghalang hawa nafsunya, moral itu tidak lagi benar. Islam harus ditentang kerana ia melarang riba atau segala unsur putar belit dalam kegiatan ekonomi mereka. Tidak ada tempatnya Islam dalam masyarakat yang bebas lepas ini.
Dari segi lain pula, kemasukan golongan bawahan atau hamba abdi juga dapat menggugat kedudukan ekonomi mereka. Selama mereka mengharapkan tenaga kaum bawahan untuk kepentingan mereka sendiri, terutama dalam kegiatan perdagangan mereka. Tetapi dengan kemasukan mereka dalam Islam, hilanglah tenaga pekerja yang selama ini membantu mereka. Sebab itu Muhammad perlu ditentang, kerana dialah yang menyebabkan golongan hamba melarikan diri dari mereka.
Salah satu sumber ekonomi orang-orang Arab ialah memahat patung-patung berhala dan menjaga Kaabah di mana patung-patung itu diletakkan. Patung-patung itu kemudiannya akan dijual kepada jemaah-jemaah Haji yang mengunjungi Makkah. Malangnya Islam mengajarkan konsep Tauhid yang murni dengan membanteras sebarang bentuk penyekutuan terhadap-Nya, seperti menyembah berhala atau mengabdi kepada sesama manusia. Ajaran seperti ini tentunya mengancam ekonomi mereka, dan sebab itu perlulah ianya ditentang.
5. Penolakan orang-orang Arab juga disebabkan ketakutan mereka tentang adanya Hari Kebangkitan (Kiamat) yang kelak akan menghitung sepak-terajang mereka di dunia. Ini adalah persoalan moral masyarakat Arab, khasnya golongan bangsawan yang sudah tenggelam dan hanyut dalam kehidupan hawa nafsu. Bagi golongan seperti ini, ancaman (sanksi) adanya Hari Pembalasan tentunya sangat menakutkan, hingga kerana itu mereka menolaknya.
6.  Faktor lain yang turut mendesak mereka untuk menolak dakwah Muhammad ialah perasaan cintakan tradisi nenek-moyang. Faktor adat yang ‘tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan’; bahawa segala sesuatu dan orang tua-tua semuanya baik belaka, semuanya ini menghambat mereka dari menerima Islam. Pernah ketika Rasulullah sedang sibuk berdakwah kepada jemaah-jemaah Haji dari luar, datanglah Abu Lahab menyahut dari belakang: “Hai manusia! Sesungguhnya lelaki ini memerintahkan supaya kamu meninggalkan agama bapa-bapa kamu”. Sambungnya lagi: “Hai keturunan polan! Bahawasanya lelaki ini hanya menyeru supaya kamu meninggalkan atau membuang berhala Lata dan Uzza dari leher-leher kamu. Kamu diajak olehnya untuk mengerjakan perbuatan Bid’ah dan kesesatan. Maka janganlah kamu mengikuti dia dan janganlah kamu mendengarnya!”
7. Satu sebab lain kenapa mereka menolak ajaran Islam ialah Iantaran takut dijajah oleh kuasa-kuasa besar, seperti Rom misalnya. Ajaran Islam membawa perpecahan masyarakat dan keluarga: Dan perpecahan-perpecahan ini akan memberi kesempatan yang baik bagi kedatangan kuasa penjajah. Memang benar bumi Hejaz yang gersang itu tidaklah dapat menarik perhatian mereka untuk menjajahnya. Mungkin dari segi ekonomi ianya tidak begitu penting, tetapi dari segi agama dan politik, penaklukan Rom akan mengukuhkan imejnya sebagai suatu kuasa Kristian dan sekaligus mencabar Parsi sebagai sebuah kerajaan Majusi. Kebimbangan terhadap kedatangan Rom ini memangnya berasas, memandangkan bahawa Makkah telah pemah diserang oleh Abrahah, Gabenor Habshah yang di bawah naungan kerajaan Rom.

Demikianlah antara lain sebab-sebab penolakan masyarakat Arab, atau lebih tepat penolakan golongan bangsawan (Al-Mala’) terhadap ajaran Islam. Ada pun golongan kebanyakan (Jumhur) mereka dengan cepat menerimanya. Ini kerana mereka tidak mempunyaf sifat-sifat yang ada pada golongan Al-Mala’ seperti takbur dan cinta kepada kedudukan dan kekuasaan.

BAB 6: HIJRAH DALAM SEJARAH ISLAM

1. PENGERTIAN HIJRAH

Pengertian Hijrah dapat dilihat dari dua segi. Pertama dari segi zahirnya perkataan ‘hijrah’ yang berasal dari perkataan ‘hajara’ itu bermakna: pindah dari satu tempat ke tempat lain (flight). Tetapi dari segi maknawinya, kata Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, terselit juga makna ‘meninggalkan adat resam atau kebiasaan yang karut dan mungkar’. Di sini istilah’flight’ tidak dapat dipakai lagi, sebab maksudnya bukan melarikan diri dari bahaya, tetapi menjauhkan diri dari kemungkaran agar diri itu dapat diperkuatkan intisarinya, dan dapat menghapuskan kejahilan dan kejahatan.

Pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib itu disetujui oleh Prof. T.M. Hasbi as-Siddieqy yang menegaskan bahawa Hijrah dalam Islam ada dua rupa. Pertamanya berpindah dari Ummul-Qura (Makkah) ke Madinah. Keduanya berpindah dari negeri kafir ke negeri Iman (Islam). Dan menurutnya, hakikat Hijrah ialah ‘Tarku manallahu ‘anhu”, yakni meninggalkan apa yang dilarang Allah.

Pentingnya makna Hijrah sebagai suatu perjuangan menegakkan yang makruf, bukannya perjuangan keduniaan, telah dibayangkan sendiri oleh Rasulullah dalam sabdanya: ‘Wahai manusia! Hanyasanya segala amal itu dengan niat. Dan hanyasanya bagi seseorang manusia adalah apa yang diniatkan. Barang siapa melakukan Hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka jadilah Hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa melakukan Hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehnya, atau kepada seseorang wanita yang ia ingin mengahwininya, maka jadilah Hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu”. (H.R. Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan Hadis ini, dapat difahami bahawa segala amal adalah menurut penggerak (motif) yang menggerakkan pembuatnya. Kalau penggeraknya (motivasi) kerana Allah, maka berpahala dan dipahalai. Tetapi kalau penggeraknya bukan kerana Allah, maka tidaklah dipahalai dan mungkin diganjari dengan dosa. Hadis ini timbul dari kisah ‘Muhajir Ummu Qais’ (yang berhijrah kerana Ummu Qais) yang mendakwa ia berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, tetapi sebenarnya untuk mendapatkan Ummu Qais di Madinah. Dikatakan bahawa Ummu Qais enggan berkahwin dengan orang yang mencintainya, jika ia enggan berhijrah. Lantaran itu, berhijrahlah orang tersebut lalu berkahwinlah mereka.

2. SEBAB—SEBAB HIJRAH

Terdapat beberapa sebab yang saling paut-memaut yang membawa kepada berlakunya Hijrah dalam Sejarah Islam. Pertama disebabkan pergolakan atau tekanan-tekanan yang dihadapi oleh Nabi dan pengikut-pengikutnya di Makkah. Akibat kematian dua orang pembantunya selama ini, berlakulah perubahan besar dalam corak dakwah Rasulullah. Terhadap Baginda sendiri, yang ketara ialah orang-orang Quraisy telah semakin berani mengganggunya, mencaci-maki dan bahkan sudah merancang untuk menamatkan riwayatnya. Maka terasalah pada Muhammad untuk menukar qiblat dakwah kepada orang-orang luar pula, terutamanya pada jemaah-jemaah Haji. Selain dari cerca maki dan lemparan kerikil yang ‘dihadiahkan’ oleh orang-orang Taif terhadapnya, tak kurang pula halangan yang dihadapkan kepadanya oleh Abu Lahab ketika Baginda sedang menyeru jemaah-jemaah Haji tersebut. Faktor suasana dalam negeri yang kian mengancam inilah yang mendorong Baginda memikirkan perlunya berhijrah.

Faktor kedua yang mendesak ke arah perlunya berhijrah ialah timbulnya tanda-tanda penerimaan yang baik di Madinah. Ada beberapa sebab kenapa mereka menyambut baik ajaran Islam itu. Pertama, bangsa Arab Madinah lebih dulu mengetahui tentang ketuhanan dan kenabian yang mereka dengar daripada orang-orang Yahudi di sana. Sebab itu apabila diseru oleh Nabi, terus mereka menerimanya, agar tidak didahului oleh kaum Yahudi. Selain dari itu, tercetusnya konflik yang memanjang baik sesama bangsa Arab Madinah (Aus dengan Khazraj) mahupun dengan bangsa Yahudi telah menjadi alasan pula tentang perlunya seorang pemimpin buat mendamaikannya. Maka atas kesedaran inilah maka golongan Arab itu menjemput Nabi ke Madinah, setelah beberapa kali mengadakan Perjanjian Aqabah (Bai’atul-Aqabah). Perjanjian ini sekaligus bererti suatu pengiktirafan secara rasmi penduduk-penduduk Madinah terhadap Muhammad sebagai pemimpin di Madinah.

Walau apapun sebabnya, penghijrahan Baginda hanya menjadi kenyataan setelah diwahyukan oleh Allah S.W.T. tentang niat jahat orang-orang Quraisy untuk membunuhnya (Al-Anfal: 30). Menurut sumber-sumber tradisi, ketika itu datang Jibrail kepada Nabi lalu menyampaikan perintah Allah S.W.T. supaya Nabi berhijrah, serta dilarangnya Nabi daripada tidur di tempatnya pada malam itu. Ini menyebabkan Nabi secara tergesa-gesa tetapi penuh hati-hati berangkat ke Madinah bersama Abu Bakar Al-Siddiq pada tahun 622 M.

3. KEPENTINGAN HIJRAH

Sesungguhnya peristiwa Hijrah ini amat penting, sehingga kerana kepentingannyalah yang mendorong Umar Al-Khattab meletakkannya sebagai tarikh permulaan kalendar Islam. Biasanya agama-agama lain memulakan tarikhnya berdasarkan tarikh kelahiran penganjur mereka, yakni semacam pendewaan terhadap peribadi berkenaan. Tetapi Umar tidak berbuat seperti itu kerana ianya lebih merupakan tarikh peribadi, bukannya tarikh perjuangan ke arah kebenaran (hak) untuk menjadi petunjuk seluruh umat manusia. Dan memang selayaknyalah Umar berbuat demikian, sebab jikalau tidak, tentulah Rasulullah tidak memberi jolokan ‘Al-Faruq’ kepadanya!

Dari segi Harakah Islamiah, peristiwa Hijrah ini memangnya sangat penting. Dalam peristiwa itu, kita lihat betapa Rasulullah berjalan menurut Sunnah biasa di alam ini, dengan menempuh berbagai cabaran dan kesulitan. Sesungguhnya Allah S.W.T. Amat Berkuasa untuk memindahkan Rasulullah dari Makkah ke Madinah dalam suatu perjalanan yang mudah seperti dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Tetapi dalam Hijrah, Allah S.W.T. tidak berbuat demikian. Ini sewajarnya menjadi tauladan kepada kita, bahawa dakwah bukanlah suatu kehidupan yang mudah, tetapi suatu perjuangan menentang kebatilan dan kekufuran dalam segala bentuk dan warnanya.

Melalui peristiwa Hijrah itu sendiri, kita dapat menyaksikan pengorbanan besar sahabat-sahabat Rasulullah dalam memenuhi program Harakah Islamiah itu. Abu Bakar sendiri misalnya, sanggup menyediakan apa saja yang dipunyainya; harta bendanya, putera-puterinya dan malah dirinya sendiri untuk keperluan Hijrah tersebut. Demikian juga Ali bin Abu Talib, sanggup tidur di katil Rasulullah walaupun dia penuh sedar bahawa mati adalah pilihan bagi mereka yang sanggup berbuat demikian pada malam itu. Tetapi kerana lebih mengutamakan keyakinan dari kesenangan peribadi, sanggup mereka melakukannya.

Selain dari itu, kita juga dapat melihat kebijaksanaan Rasulullah dalam mengatur strategi dalam perjalanannya itu. Sebagaimana dimaklumi, Baginda tidak terus berangkat ke Madinah, sebaliknya bersembunyi terlebih dulu beberapa malam di Gua Thur. Taktik seperti ini menyebabkan kaum Quraisy mengalami keletihan dan putus harapan dalam pencariannya. 

 Menurut firasat Baginda yang tajam, orang-orang Quraisy tentunya akan berkeliaran di sepanjang jalan menuju Madinah, khasnya di bahagian utara Makkah. Tetapi Rasulullah tidak memilih jalan ini, sebaliknya Baginda mengambil jalan selatan; suatu jalan yang tidak biasa ditempuh orang, kemudiannya baru menuju Tihamah di dekat pantai Laut Merah.
Betapa pentingnya peristiwa Hijrah yang melalui jalan selatan dan Tihamah ini dapat kita saksikan riwayatnya dalam kitab Taurat sendiri. “The burden upon Arabia. In the forest in Arabia ye lodge, 0 ye travelling of Dedanim. The inhabitants of the land of Tema brought water to him that was thirsty, they prevented with their bread him that fled. For they fled from the swords … and from the bent bow, and from the grievousness of war. For thus hath the Lord said unto me, within a year according to the years of an hireling, and all the glory of Kedar shall fail. And the residue of the number of archers, the mighty men of the children of Kedar shall be diminished” (Isaiah 21:13-17).

Ayat ini dengan jelas memaparkan riwayat penghijrahan Muhammad tersebut. Tidak pernah berlaku, malah tidak pernah terdapat orang yang bermalam di Tema (Tihamah) tersebut, kecuali dalam peristiwa Hijrah Rasulullah. Perkataan ‘Dedanim’ di sini bermaksud keturunan dari kaum ‘Ad, salah satu kaum yang menyekutukan Tuhan. Mengenai ‘Kedar’ pula, Taurat sekali lagi menjelaskan bahawa Kedar ialah salah seorang daripada 12 orang putera Nabi Ismail (Genesis 25:13). Bani Kedar ini ada yang mendiami daerah pargunungan Paran. Dan dari keturunan Kedar inilah timbul suku Quraisy, yang daripadanya lahir Muhammad. Demikian pentingnya Hijrah ini, sehingga tidak ketinggalan disebut dalam Taurat yang masih terpakai sekarang!

Sebenarnya kepentingan Hijrah itu menjadi semakin jelas dengan melihat pada impikasi peristiwa itu sendiri. Dengan berlakunya Hijrah, terbentuklah suatu ‘Ummah’, iaitu suatu jemaah atau organisasi baik dalam bentuk masyarakat atau negara yang mempunyai ciri-ciri keperibadiannya yang tersendiri dan berbeza dari yang lain.  Jemaah ini berbeza, kerana ia berasaskan AQIDAH dengan kepatuhan hanya kepada kuasa Allah semata-mata, tidak kepada kekuasaan lain dengan segala rupa bentuknya. Sebenarnya istilah ‘Madinah’ itu sendiri berakar dari istilah ‘Din’, iaitu sebuah kota, bandar atau bandaraya di mana suatu Ummah tertakluk pada suatu penguasa yang adil dan benar yang menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Melalui Hijrahlah timbulnya konsep Ummah tersebut yang nantinya akan mempengaruhi seluruh dunia.

Dengan timbulnya suatu Ummah di sebuah kota atau bandar yang bernama Madinah, maka terdirilah sebuah negara dengan sistem pemerintahan yang berteraskan Islam. Ertinya sebuah Negara Islam (Islamic State), bukannya negara orang-orang Islam (Muslim State) yang tidak mendaulatkan hukum Islam di dalamnya. Sebuah Negara Islam ialah suatu tempat di mana Syiar Islam benar-benar mempunyai kekuatan hukum di dalamnya, bukannya negara berfaham kedaerahan terbatas, atau berfaham chauvinisme yang menyempitkan dirinya dengan batasan kaum, keturunan atau warna kulit.

Dengan terbentuknya sebuah negara yang mempunyai kedaulatan hukum ini, maka ini dapat menambahkan kekuatan umat Islam yang dengan itu dapat mempertahankan keselamatan dirinya. Kalau dulu mereka berselerak di Makkah, di Habshah dan lain-lainnya, maka kini sesudah Hijrah semuanya lalu berkumpul dalam suatu perpaduan yang kukuh, hingga sanggup melancarkan Jihad dalam menegakkan Kalimah Allah S.W.T.

Akhirnya, Hijrah juga telah berjaya menambah bilangan umat Islam, iaitu gabungan orang-orang Muhajirin dengan Ansar. Apa lagi sejak termetrinya Perjanjian Hudaibiah, ini memberi kesempatan yang luas untuk menyebarkan lagi dakwah Islam hingga ke luar negeri. Dan dengan tertakluknya kota Makkah serta selesainya Perang Tabuk, diikuti oleh sumpah setia orang-orang Thaqif, maka berbondong-bondonglah bangsa Arab dari segenap penjuru menghadap Nabi untuk menyatakan keislamannya. Peristiwa yang berlaku pada 9 H., ini begitu penting,  sehingga digelar ‘Tahun Delegasi’ di mana agama Islam kini telah menjadi anutan seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab dan sekitarnya.

BAB 7: TERDIRINYA NEGARA ISLAM MADINAH

Sewaktu Rasulullah tiba di Madinah dengan disambut oleh muzik dan nyanyian, di sana terdapat golongan bangsa Arab, bangsa Yahudi serta golongan-golongan kecil lain yang kebanyakannya masih hidup secara primitif. Bangsa Arab terdiri dari puak-puak Aus dan Khazraj yang asalnya adalah dua beradik seibu-sebapa. Sedangkan golongan Yahudi yang jumlahnya 4,400 orang itu berpecah kepada Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraidzah serta suku-suku kecil yang lain. Suku-suku Yahudi ini berasal dari Palestin, setelah kerajaan mereka di sana dihancurkan oleh Maharaja Titus dari Rom pada tahun 70 M.

Dalam membandingkan usaha-usaha Nabi di Makkah dengan di Madinah, terdapatlah jurang perbezaan yang nyata.  Jika di Makkah yang ditekankan ialah soal AQIDAH dan pembentukan peribadi Muslim, maka di Madinah ianya lebih tertumpu ke arah pembentukan masyarakat atau Negara Islam. Di Madinahlah Nabi baru dapat menerapkan Islam sebagai ‘Nizhamul-hayat’ (peraturan hidup), sebagai ‘way of life’ yang lengkap.

1. USAHA-USAHA AWAL

i)     Pembinaan Masjid

Usaha pertama yang didayungkan oleh Nabi dalam menyatupadukan masyarakat Islam ialah mewujudkan tempat ibadat dan pusat dakwah. Bertempat di tanah kepunyaan Sahl dan Suhail bin Amr, dua orang anak yatim di bawah jagaan As’ad bin Zurarah, sebuah masjid didirikan dengan kerjasama orang-orang Muhajirin dan Ansar termasuk Nabi sendiri. Tanah yang dibeli dengan harga 10 dinar ini memangnya sebelum ini pun merupakan kawasan yang digunakan oleh As’ad dan sahabat-sahabatnya sebagai tempat bersolat. Dengan bantuan Usman Affan, masjid tersebut dapat diperluaskan oleh Nabi setelah dibayar harganya. Selesai sahaja pembinaan tersebut lalu didirikan pula rumah-rumah kediaman Nabi.
Bentuk asal masjid ini mudah sekali. la mempunyai sebuah ruangan terbuka yang luas, keempat temboknya dibuat dari batu-bata dan tanah, atapnya sebahagian terdiri dari daun kurma dan sebahagian lagi dibiarkan terbuka, dengan salah satu bahagian lagi untuk kegunaan fakir miskin yang tidak punya tempat tinggal. Misalnya di ‘Suffa’ (bahagian masjid yang beratap), terdapat orang-orang yang serba kekurangan menghuninya, sehingga mereka digelar ‘Ahli Suffa’ (Penghuni Suffa) yang belanja hidupnya bergantung kepada harta kaum Muslimin sendiri.
Dari segi fungsinya, mulanya kaum Muslimin menjadikan masjid sebagai pusat pelbagai guna, iaitu bukan sekadar untuk tujuan ibadat sahaja, bahkan juga untuk tujuan keduniaan seperti urusan perniagaan atau memperdengarkan syair-syair. Bagaimanapun kerana terjadinya hiruk-pikuk sehingga menenggelamkan suara para Musallin (yang bersolat), maka Umar Al-Khattab lalu memisahkan tempat-tempat yang dikhaskan untuk urusan-urusan ibadat dengan keduniaan. Walau apapun juga, namun di masjidlah pusatnya di mana Nabi menggerakkan pentadbiran negara atau menjalankan hukuman. Ini kerana dalam Islam tidak wujud apa yang dinamakan ‘sekularisme’, iaitu pemisahan antara urusan keagamaan dengan keduniaan seperti ajaran Kristian.
Dengan terdirinya pusat ibadat yang sekaligus merupakan pusat pentadbiran juga, mulalah usaha-usaha dakwah dilipatgandakan. Tidak begitu sukar pekerjaannya kali ini kerana masyarakat Madinah lebih mengerti dan mudah dibentuk. Hasilnya dalam masa yang singkat sahaja Islam mempengaruhi masyarakat Madinah, hingga pendita besar Yahudi, iaitu Abdullah bin Salam pun turut memaklumkan keislamannya. Dengan bertambahnya umat Islam ini maka sulitlah memanggil mereka untuk menunaikan solat. Hanya setelah azan diadakan dengan Bilal bin Rabah sebagai muazzinnya, mudahlah bagi kaum Muslimin mendengarnya. Bagaimanapun orang-orang Yahudi semakin menampakkan kejengkelan mereka, kerana mereka sedar betapa dalamnya pengertian azan dalam konteks pembentukan dan perpaduan umat Islam.

ii)    Hubungan Sosial

Selaras dengan pembinaan masjid tersebut, Rasulullah lalu menumpukan perhatiannya ke arah mengadakan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat Muslim Madinah, iaitu dengan cara mempersaudarakan antara sesama Ansar dan Muhajirin ataupun sebaliknya. Dengan Baginda sendiri memulakan persaudaraannya dengan Ali bin Abu Talib, maka Abdul Rahman bin Auf lalu dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’, Zubair AI-Awwam dengan Abdullah bin Mas’ud, Jaafar bin Abu Talib dengan Muaz bin Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan Saad bin Muaz, Ammar bin Yasir dengan Huzaifah Al-Yaman, Salman AI-Farisi dengan Abid-Darda’ dan lain-lainnya.
Tujuan asasinya ialah hendak mengeratkan hubungan antara suku Aus dengan Khazraj yang dulunya saling bermusuhan di samping menghilangkan kesepian orang-orang Muhajirin kerana terpaksa meninggalkan sanak saudara dan harta benda mereka di Makkah. Kesan dari pertalian seperti ini mewujudkan perasaan kekeluargaan, sayang-menyayangi dan hormat-menghormati sehingga ke peringkat pesaka-mempesakai (Bagaimanapun hukum warisan ini dihapuskan oleh Rasulullah kemudiannya). Misalnya Bilal bin Rabah yang telah dipersaudarakan dengan Abi Ruwaihah, masih tidak dapat melupakan ‘saudaranya’ itu meskipun sudah lama berlalu. Suatu ketika Bilal pergi berperang di Sham lalu menetap di sana. Kemudian di masa pemerintahan Umar Al-Khattab, dan di waktu dewan-dewan pentadbiran diatur, beliau menyoal Bilal tentang kepada siapa dewan Sham hendak diserahkan. Bilal lalu menamakan Abi Ruwaihah kerana katanya: “Aku tidak sampai hati meninggalkannya, kerana adanya hubungan persaudaraan yang telah diikatkan oleh Rasulullah antara aku dengannya”. Mendengarnya Umar pun memenuhi permintaan itu.
Demikian sekadar hubungan antara sesama Muslim. Adapun antara Muslim dengan bukan Muslim, dasarnya telah digariskan oleh Al-Quran: “Allah tidak menegah kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dari mereka, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang jujur“(Al-Mumtahinah: 8). Atas dasar inilah umat Islam dihalalkan mengahwini wanita Kitabi (Al-Maidah: 5). Di samping memerintahkan si anak mempergauli ayahnya dengan baik meskipun dia seorang musyrik (Luqman: 15), ditegah pula agar tidak berdebat dengan ahli-ahli Kitabi kecuali dengan cara yang baik (Al-Ankabut: 46).
Diriwayatkan bahawa Muhammad sering menghadiri majlis perkahwinan mereka, mengusung jenazah mereka, melawat pesakit-pesakit mereka malah meraikan mereka. Sewaktu rombongan kaum Nasrani Najran menziarahinya, Baginda membentangkan tudungnya agar mereka duduk. Suatu tauladan yang indah bagaimana Baginda memperlakukan orang-orang bukan Islam dengan budi-bicara yang halus ialah ketika seorang Yahudi, Zaid bin Safanah mempiutangi Baginda. Dan apabila Baginda terlewat membayarnya kerana kesempitan, datanglah Zaid seraya memegang leher baju Muhammad sambil menempelaknya kerana kelambatan tersebut. Melihat kebiadabannya Umar lalu menghunuskan pedangnya hendak membunuh Zaid, tetapi ditegah oleh Nabi sambil berkata: ‘Tidakkah lebih baik kiranya engkau menasihatiku agar membayar dengan sebaik-baiknya, dan menasihatinya agar dia pun menagih hutangnya dengan baik?” Lantaran begitu kagum terhadap kelunakan Muhammad itu, maka di saat itu juga Zaid memaklumkan hasratnya memeluk Islam.

iii)  Pemulihan Ekonomi

Akibat langsung daripada penyatuan masyarakat Islam tersebut ialah wujudnya semangat saling membantu sehingga meliputi segenap bidang  “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Muhajirin, mereka itu satu sama lain lindung-melindungi” (Al-Anfal: 72).
Wujudnya kerjasama yang tidak terbatas antara kaum Ansar dengan Muhajirin membuatkan orang-orang Muhajirin sampai tidak tergamak untuk menerimanya. Kepada mereka diberikan tanah dan tempat kediaman oleh Ansar, tetapi ditolak dengan baik oleh Muhajirin kerana mereka enggan kehidupan mereka menjadi beban kepada orang lain. Sampai begitu eratnya persaudaraan Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’ hingga kepada Abdul Rahman ditawarkannya separuh daripada kebunnya, rumahnya, ternakannya dan malah salah seorang daripada isteri-isterinya pun sanggup diberikannya juga! Tetapi niat sebaik ini ditolaknya dengan ikhlas sambil meminta ditunjukkan kepadanya di mana letaknya pasar untuknya memulakan perniagaan.
Dan di sanalah ia berdagang mentega dan lembu keju, sehingga dalam masa yang singkat ia dapat mencapai kekayaan kembali. Selain Abdul Rahman, ramai lagi kalangan Muhajirin berbuat demikian. Ini tidaklah menghairankan kerana orang-orang Makkah memang dulunya cekap dalam perniagaan, hingga pernah dikatakan: Dengan perdagangannya itu ia dapat mengubah pasir Sahara menjadi emas!
Di antara usaha-usaha pemulihan ekonomi yang dilakukan oleh Nabi ialah mendirikan pekan orang-orang Islam berhampiran dengan pasar Yahudi Bani Qainuqa. Akibatnya pasar Yahudi itu terancam hingga menimbulkan kemarahan besar kepada mereka. Apa lagi Nabi sendiri sangat mengambil berat tentang keadaan tersebut agar semuanya berjalan lancar, serta mengawasinya agar tidak terdapat sebarang penipuan.
Selain berniaga, orang Muhajirin juga bertani, mengurus dan menyelenggarakan kebun tamar orang Ansar. Misalnya Asma binti Abu Bakar serta suaminya Zubair AI-Awwam mempunyai sebidang tanah kebun baru dan seekor unta dan keldai. Setiap hari Asma sendiri mengurus binatang-binatangnya di samping mengairi kebunnya. Dan di rumah pula dia bekerja membancuh tepung untuk dijadikan roti. Selain Zubair, keluarga-keluarga Abu Bakar, Umar, Ali dan lain-lainnya turut terjun ke dalam pertanian. Bagaimanapun memang ada yang serba kekurangan, seperti golongan’Ahli Suffah’ tersebut.

iv)     Perjanjian Politik

Penduduk Madinah merupakan suatu kelompok masyarakat majmuk (plural society) dengan nilai-nilai sendiri dan terpisah. Dan memangnya menjadi bawaan masyarakat seperti ini untuk bertelagah dan bermusuh-musuhan, seperti yang pernah berlaku dalam Perang Buath antara golongan Aus dengan Khazraj dan lebih-lebih lagi antara bangsa Arab dengan Yahudi. Maka demi mewujudkan persefahaman dalam kalangan anggota masyarakat yang hampir mustahil dapat bersatu-padu itu, Nabi lalu mengadakan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam.

Butir-butir perjanjian yang dinamakan ‘Sahifah Madinah ini secara kasarnya adalah seperti berikut:

1.   Kaum Yahudi hidup berdamai bersama-sama dengan kaum Muslimin;  kedua belah pihak bebas memeluk dan mengamalkan agama masing-masing.
2.  Kaum Muslimin dan Yahudi wajib bertolong-tolongan untuk melawan siapa saja yang memerangi mereka. Mereka dengan bahu membahu harus menangkis setiap serangan terhadap kota Madinah.
3.    Perdamaian dengan golongan ketiga hendaklah dengan persetujuan pihak lain.
4.  Sesiapa sahaja yang tinggal di dalam atau di luar kota Madinah wajib diperlindungi keamanan dirinya, kecuali orang yang zalim dan bersalah, kerana Allah menjadi pelindung orang-orang yang baik dan berbakti.
5.   Sekiranya timbul perselisihan antara kaum Yahudi dengan Muslimin,jika dikhuatiri dapat menimbulkan akibat-akibat yang tidak diingini, maka urusan itu hendaklah dirujuk kepada Allah dan Rasul. Rasulullah adalah Pemimpin Umum bagi penduduk Madinah.
Demikian antara lain ciri-ciri utama dokumen politik tersebut. Dari segi kepentingan sejarah, Perjanjian Madinah ini merupakan perlembagaan tertulis yang pertama sekali dalam dunia. Seperti kata Prof. Muhammad Hamidullah: ‘The first written constitution of a state ever promulgated by a sovereign on human history”.
Suatu hal yang agak menakjubkan ialah bagaimana golongan Yahudi sanggup mengakui kepimpinan Rasulullah tersebut. Sebenamya dengan mengkaji watak Yahudi tersebut, kesanggupan dan persetujuan mereka itu tidak lain merupakan manifestasi sikap opportunistik mereka. Ini samalah seperti amalan Komunis (pengasasnya Marx adalah seorang Yahudi juga) seperti yang ditegaskan oleh Stalin: “Dalam segala waktu kita bersedia membuat perjanjian dengan musuh kita asalkan perjanjian itu kemudian menjadi alat bagi kita membinasakan musuh itu!”
Itu dari suatu segi. Dari segi lain pula, Dr. Israel Wilfinson menganggap bahawa penerimaan mereka tersebut adalah kerana takut kepada ancaman Rom (Byzantine) yang melalui kerajaan Ghassan dulu telah pernah mengazab-sengsarakan orang-orang Yahudi. Khabarnya orang-orang Arab telah melaporkan kesulitan hidup mereka di Madinah kerana tanah-tanah yang subur sudah dalam genggaman Yahudi, hingga mereka terpaksa memburuh sahaja kepada Yahudi. Maka dengan pertolongan dan tipu muslihat Abu Jubailah sebagai Ketua Tentera Ghassan, hampir kesemua ketua-ketua Yahudi yang terkemuka di Madinah dibunuhnya. Dengan inilah baru orang-orang Arab dapat bernafas semula serta menyaingi Yahudi. Jadi oleh kerana tragedi inilah orang-orang Yahudi macam terpaksa menyetujui kepimpinan Muhammad, demi survival mereka juga.

2. PROSES PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM

Ada dua aspek yang ingin diberi perhatian di sini. Pertama, mengenai pembentukan Negara Islam Madinah itu sendiri yang dilakukan menurut lunas-lunas demokrasi. Sebelum berlakunya Hijrah, Rasulullah telah mengadakan ikatan setia dengan orang-orang Arab Madinah dalam tiga peringkat, iaitu pada tahun-tahun ke-11, 12 dan 13 sesudah Nabi diutus. Perjanjian ini diadakan di Aqabah, hingga lebih terkenal sebagai Bai’atul-Aqabah. Pada hakikatnya perjanjian-perjanjian ini adalah semacam kontrak yang jelas untuk mendirikan sebuah negara Islam yang pertama sekali. Kontrak ini memberi mandat (kekuasaan) kepada Baginda dan menyatakan penyataan ketaatan yang menyeluruh terhadap kepimpinannya.
Mandat tersebut kemudiannya diperkukuhkan lagi selepas Nabi menetap di Madinah, iaitu dengan mengadakan perjanjian bertulis dengan golongan bukan Islam. Di antara isi kandungan’Sahifah Madinah’ tersebut, yang terpenting sekali dalam konteks ini ialah pengakuan atau pengiktirafan penduduk-penduduk Madinah, termasuk golongan bukan Islam, terhadap Muhammad sebagai Pemimpin Tertinggi mereka.
Demikianlah proses terbentuknya Negara Islam yang pertama dalam sejarah seperti yang dibicarakan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Dengan ini terbuktilah sahnya kepimpinan Rasulullah di Madinah, dan kelirunya dakwaan kalangan Orientalis bahawa Muhammad adalah seorang ‘perampas kuasa’ dari tangan calon sebenar, iaitu Abdullah bin Ubayy.
Ada pun tentang aspek kedua, adalah jelas bahawa pembentukan Negara Islam itu dibuat di sebuah negeri yang terdiri dari masyarakat berbilang bangsa dan agama. Sungguhpun begitu, kepelbagaian seperti ini tidak menghalang Baginda untuk mewujudkan sebuah Negara Islam di mana hukum-hakam Islam berdaulat di dalamnya. Jadi wujudnya sebuah masyarakat majmuk tidaklah menjadi halangan bagi Baginda atau sesiapa sahaja untuk melaksanakan Syariat Islam, oleh kerana terutusnya Muhammad adalah untuk membawa “rahmat bagi sekalian alam”, bukannya untuk golongan tertentu (Islam) sahaja.

3. PENTADBIRAN NEGARA ISLAM MADINAH

Dalam Islam, tidak ada apa yang dinamakan dasar ‘Sekularisme’, iaitu dasar pemisahan antara agama dengan politik. Di zaman generasi pertama Islam, pentadbiran negara berpusat di masjid. Antara urusan masjid dengan urusan kenegaraan, kedua-duanya seiring sejalan. Sesungguhnya Sekularisme bukannya berasal dari tradisi Islam, tetapi dari tradisi Kristian Barat yang menuntut:
Render unto Caesar the things which are Caesar
and unto God the things which are God’s.
Berikutnya ialah ‘Kabinet Rasulullah’ yang menjalankan pentadbiran Negara Islam Madinah:
Ketua Negara: Muhammad Rasulullah
Menteri-Menteri: Abu Bakar Al-Siddiq
Umar AI-Khattab
Hakim Mahkamah: Abdullah bin Naufal dll
Majlis Perwakilan: Hamzah bin Abdul Mutalib, Jaafar bin Abu Talib, Abu Bakar AlSiddiq, Umar AI-Khattab, Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Mas’ud, Huzaifah Al-Yaman, Abu Zar Al-Ghifary, Miqdad Al-Aswad, Bilal bin Rabah, Aishah binti Abu Bakar.
Mengenai urusan-urusan eksekutif, ianya dijalan seperti berikut:
Bendahari Negara: Abu Ubaidah AI-Jarrah
Jurubahasa: Zaid bin Thabit
Setiausaha Negara: Harith bin Auf Al-Mad, Hanzhah bin Rabi'(wakil)
Setiausaha-Setiausaha:
1.   Dalam Negeri: Abu Dajnah AI-Saadi, Siba’ bin Urfazhah
2.  Luar Negeri: Ali bin Abu Talib (hubungan persahabatan), Abdullah bin Arqam (hubungan luar negeri), Shurahbil bin Hasanah (surat-surat perwakilan)
3    Pertahanan: Abdullah bin Jahsy, Ubaidah bin Harith dll
4.  Ekonomi:      Huzaifah Al-Yaman (pertanian), AI-Mughirah bin Abu Shu’bah (perdagangan) dan transaksi), Husain bin Numair (sama), ‘Ha bin Utbah (pendaftaran perusahaan penduduk), Abdullah bin Arqam (sama)
5.  Kewangan dan Sosial: Zubair Al-Awwam (zakat), Jahm bin Al-Syalt (sama), Mu’igib bin Fatimah (penghasilan lain), Kaab bin Umar Al-Ansari (pengeluaran negara)
6.   Pendidikan: Hakam bin Saad (guru di Madinah), Syifa’ dan Ummu Sulaiman (guru wanita), Ubadah bin Syamit (guru agama)
7.   Kesihatan:     Harith bin Kindah, Rufidah Al-Islami (Palang Merah)
8.  Penerangan: Hassan bin Thabit (penyair),Abdullah bin Ruwahah (sama), Kaab bin Malik (sama), Thabit bin Qais (juru penerang), Muaz bin Jabal (hukum halal-Karam), Abdullah bin Abbas (pentafsir Al-Quran), Zaid bin Thabit (hukum waris), Abdullah bin Mas’ud (penghimpunan AI-Qur-an), Ubayy bin Kaab (sama)
9.   Keamanan dan Pengawasan: Qais bin Saad bin Ubadah (pengawasan), Umar Al-Khattab (pengawasan susila)
10. Parkhidmatan Awam: Usman bin Affan
Pencatat Al-Quren: 42 orang
Protokol: 10 orang
Penolong Peribadi: Huzaifah Al-Yaman

Gabenor-Gabenor Wilayah:

1.   Utab bin Usaid (Makkah)
2.   Bazan bin Sasan (Yaman)
3.   Khalid bin Said AI-Ass (Najran)
4.   Zaid bin Lubaid (Hadhramaut)
5.   Abu Musa Al-Shaari (Maghribi dan Aden)
6.   Muaz bin Jabal (Yaman)
7.   Ya’la bin Ugiayyah (AlJundi)
8.   Umar bin Shihar Al-Hamdani (Hamdan)
9.   Amru bin Hazmin (Hajran)
10. Zahir bin Abi Halah (Ma dan Asy’arin)
11. Abu Sufyan bin Harb (Najran)
12. Akashah bin Thur (Sakasik dan Sakun)
13.  ‘Illa bin Hadhrami (Bahrin)
14. Yazid bin Abu Sufyan (Tihamah)
15.  Amru ibnul-Ass (Oman)
16.  Wail bin Hajr AI-Hamdani (Hadhramaut)
17.  Abu Bakar AI-Siddiq (memimpin ibadat Haji pada 9 H. yang bertaraf Gabenor)
Duta-duta dan Wakil Isitmewa: 23 orang.

BAB 8: JIHAD DI JALAN ALLAH

1. PENGERTIAN JIHAD

Menurut takrifnya, Jihad bererti menegakkan kalimah Allah (Aqidah dan Hukum) di muka bumi. Bagi Syed Qutb, maknanya harus dirujuk kepada pengertian ‘Islam’ itu sendiri yang bererti ‘penyerahan diri’. Islam adalah merupakan suatu proklamasi umum untuk membebaskan umat manusia di bumi daripada menjadi mangsa pengabdian oleh manusia atas sesama manusia kepada pengakuan ketuhanan Allah S.W.T. Untuk menuju ke arah matlamat pembebasan seluruh umat manusia di seluruh muka bumi ini, tentunya terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk tentangan dan cabaran, baik berbentuk Aqidah mahupun kekuasaan-kekuasaan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Di sinilah timbulnya keperluan berjihad, iaitu suatu perjuangan baik secara dakwah mahupun harakah untuk membebaskan manusia dari pengabdian terhadap sebarang bentuk kuasa selain Allah S.W.T.
Dari segi hukumnya, para ulama sepakat mengatakan bahawa perang Jihad di jalan Allah itu Fardu, baik Fardu ‘Ain mahupun Fardu Kifayah. Jika tujuan Jihad itu untuk mempertahankan serangan-serangan yang dilancarkan oleh orang-orang kafir ke atas orang-orang Islam, maka ketika itu hukumnya Fardu ‘Ain. Tetapi jika tujuannya untuk menyebarkan ajaran-ajaran Islam, maka ketika itu hukumnya Fardu Kifayah, yakni golongan tertentu sahaja (tidak kesemua) yang menjalankannya. Bagaimanapun melihat kepada serba-serbi kekurangan dan kelemahan jiwa dalam kalangan umat Islam hari ini, Hassan Al-Bana berpendapat bahawa niat Jihad dan bersiap sedia untuk melancarkan sebarang Jihad itu sudah menjadi Fardu ‘Ain di atas setiap umat Islam, sehingga kalau mereka berpeluang melancarkan sebarang Jihad, maka perlaksanaan akan terns dijalankan dengan secara licin.

Menurut Dr Abdul Qadir Agdah, Jihad itu menjadi Fardu ‘Ain dalam tiga tempat:

1. Apabila bertemu dan berhadapan dua pasukan, haramlah lad atas orang yang ikut berperang (Al-Anfal: 15 & 45)
2.  Apabila kaum kafir telah datang ke negeri Islam, wajiblah ia mem-pertahankan negerinya, demi mempertahankan agama (Al-Baqarah: 191, Al-Anfal: 39)
3.  Apabila Pemimpin telah memerintahkan kepada suatu kaum (umat) untuk berangkat ke medan perang, wajiblah ia mengikuti Pemimpin itu (At-Taubah: 38)
Sewaktu mengkaji tentang sebab-sebab peperangan di zaman Rasulullah, kebanyakan orang menganggap bahawa ianya lebih berbentuk ‘defensif, yakni kerana mempertahankan diri. Kata mereka, Allah hanya mengizinkan untuk berperang hanya untuk mempertahankan diri sahaja. Tetapi bagi Syed Qutb, jika dikaji latar belakang kejadian Perang Badar misalnya, maka sama sekali tidak akan berbangkit langsung alasan. ‘mempertahankan diri’ tersebut. Sebarang usaha untuk menyempitkan pengertian Jihad dan memanggilnya sebagai gerakan ‘defensif’ (bertahan) semata-mata adalah suatu usaha yang berpunca dari kurang pengertian mengenai tabiat agama dan peranannya untuk membebaskan manusia dari sebarang bentuk pengabdian kepada selain Allah.
Sebenamya menurut Syed Qutb, penggerak asasi sentiasa hidup tegak, walaupun tiada sebarang bentuk permusuhan atas Negara Islam, kerana ia adalah tenaga pendorong yang sejati lagi abadi, bukan sekadar berpunca dari maksud mempertahankan diri sahaja yang sangat sementara sifatnya. Sesungguhnya kuasa-kuasa yang menentang Islam itu telah pernah memutuskan untuk tidak lagi menyerang Islam, seandainya Islam sanggup membiarkan mereka meneruskan sikap dan dasar pengabdian diri kepada selain daripada Allah, dalam lingkungan diri atau negeri mereka sendiri. Tetapi Islam tidak pernah mahu bertolak-ansur dengan mereka, kecuali setelah mereka mengaku akan tunduk dan patuh di bawah kekuasaan Islam dalam bentuk membayar Jizyah, sebagai jaminan bagi terbukanya pintu dakwah Islam tanpa diganggu-gugat oleh apa jua kekuasaan pun di dalam negeri itu.
Fakta inilah yang menjadi sandaran di dalam hati para Mujahid Islam. Bila mereka ditanya mengenai apakah motif perjuangan mereka, mereka TIDAK akan pernah menjawab “untuk mempertahankan diri”, sebaliknya mereka akan terus menjawab seperti jawapan Rab’a bin Amir dan Al-Mughirah bin Abu Shu’bah kepada Rustum, panglima perang Parsi dalam Perang AI-Qadisiyah yang telah bertanya kepada mereka seorang demi seorang dalam tempoh tiga hari berturut-turut sebelum berlakunya peperangan itu. Ketika ditanya oleh Rustum tenting apakah motif mereka untuk berperang dengan Parsi, jawapan mereka tetap sama dengan yang lain: “Bahawa Allah telah mengutus kami untuk mengajak dan menyenu tuan-tuan dan semua orang yang menumpahkan taat-setianya kepada sesama manusia untuk bersama-sama dengan kami menyembah dan menumpah pengabdian kepada Allah, dan menarik mereka keluar daripada kesempitan hidup dunia kepada medan hidup yang lebih selesa di dunia dan akhirat … Sesiapa sahaja menerima Islam maka kami sambut mereka dan kami akan meninggalkan negeri mereka, kami tinggalkan mereka terus berkuasa di negeri mereka sendiri. Sebaliknya sesiapa sahaja yang angkuh dan enggan menerima Islam maka kami akan memerangi mereka sehingga kami mendapat kurnia syurga Allah atau kami beroleh kemenangan”.
Demikianlah hakikat Jihad dan hakikat peperangan dalam Islam, bukannya bersifat sementara untuk ‘mempertahankan diri’ sahaja, tetapi bersifat abadi dan terus menerus, sejajar dengan tujuan Islam sendiri untuk membebaskan umat manusia di bumi daripada mengabdi sesama manusia kepada menyembah Allah sahaja. la merupakan suatu proklamasi untuk mengambil balik kekuasaan Allah yang telah diragut daripada-Nya. Sesungguhnya dalam memahami konsep Jihad dalam Islam, ianya haruslah merujuk kepada pengertian Islam itu sendiri. Kedua-duanya seiring sejalan, bahkan memang tidak dapat dipisahkan sama sekali.

2. GERAKAN—GERAKAN MILITER

Peperangan-peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah sangat banyak, tetapi yang akan disentuh di sini hanya yang dirasakan penting sahaja. Kecuali beberapa peperangan yang akan dibicarakan seperlunya, yang lain-lainnya disebut secara ringkas sahaja.

i)    Peperangan Badar Al-Kubra (17 Ramadan 2 H.)

Disebut ‘Al-Kubra’ di sini kerana sebelum tercetusnya peperangan ini, berlaku beberapa berontakan antara pasukan-pasukan Islam (Muhajirin) dengan kafilah-kafilah Quraisy. Tujuannya bukan sahaja sekadar menyedarkan orang-orang Quirasy bahawa kepentingan mereka bergantung kepada adanya saling pengertian dengan kaum Muhajirin, bahkan untuk menakut-nakuti golongan Yahudi di Madinah. Yang terpenting di antaranya ialah pasukan Abdullah bin Jahsy, yang oleh sesuatu sebab telah membunuh Amr bin Al-Hadhrami. Inilah darah pertama yang ditumpahkan oleh Muslimin, yang oleh orang-orang Quraisy disebarkannya provokasi bahawa Muhammad melakukan pembunuhan dalam bulan suci.
Menjelang tahun kedua Hijrah, sekali lagi Muhammad mengirim pasukan-pasukan untuk mencegat kafilah-kafilah perdagangan Quraisy, khasnya yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb. Jika ekspedisi-ekspedisi awal tadi cuma kaum Muhajirin sahaja yang terlibat, maka kali ini ianya disertai pula oleh kaum Ansar. Malangnya kafilah yang dinanti-nanti di Badar itu tidak tiba, sebaliknya di depan kaum Muslimin tercegat angkatan perang Quraisy. Maka berlakulah peperangan yang berakhir dengan kemenangan kaum Muslimin.
Kemenangan ini penting sekali dalam sejarah Islam, kerana bagi Muhammad: “Ya Tuhanku! Andaikata kelompok ini hancur, siapakah lagi yang akan menyembah-Mu di permukaan bumi ini?” Sebab itu kaum Muslimin menganggap peperangan ini sebagai ‘AI-Ghazwatul¬Furgan'(Peperangan yang menentukan), kerana dengan peperanganini Tuhan telah menentukan mana yang hak dan mana yang batil.
Dari jumlah 1000 orang tentera Quraisy itu, yang gugur ialah 70 orang, termasuk pemuka-pemuka mereka. Sedangkan dari jumlah 313 tentera Islam, cuma 14 orang sahaja yang gugur syahid. Kaum Muslimin dapat pula menawan 70 orang tawanan, tetapi dua orang sahaja – Uqbah bin Abi Muit dan Nadzr bin Al-Harith – yang dibunuh kerana kedua-duanya merupakan bahaya yang selalu mengancam kaum Muslimin di Makkah dulu. Sedangkan yang lain-lainnya diminta menebuskan dirinya, kecuali seorang penyair, Abu Azza Amr Al-Jumahi yang dibebaskan oleh Nabi kerana kemiskinannya dan pengakuannya untuk tidak lagi memerangi Nabi. Malangnya dalam peperangan Uhud kemudiannya dia turut menentang Nabi, tetapi dapat ditawan serta dibunuh. Akibat langsung daripada peperangan Badar ini ialah berlakunya serangan terhadap kaum Yahudi Bani Qainuqa’. Hal ini akan kita bicarakan nanti.
Beberapa nota:
1.  Dengan keyakinan dan Aqidah yang kukuh, jumlah yang sedikit dapat menewaskan yang banyak. Sungguhpun sebenamya Allah dan malaikatlah yang menolong mereka (Al-Anfal: 12 & 17), tetapi semuanya itu berasaskan keyakinan jua.
2. Pembunuhan dua orang tawanan perang tersebut adalah memandangkan betapa merbahayanya mereka terhadap Islam, bukannya suatu bukti bahawa agama Islam sangat dahagakan darah seperti tuduhan kaum Orientalis.
3.   Islam sangat mementingkan ilmu, kerana tawanan-tawanan yang miskin tetapi mempunyai kebolehan membaca dan menulis dapat menebuskan dirinya dengan mengajar 10 orang kanak-kanak Muslimin sehingga pandai.
4.   Islam sangat menjunjung prinsip ‘Syura’. Dalam peristiwa ini, Rasulullah sanggup menurut cadangan Hubab ibnul-Munzir mengenai masalah strategi peperangan, meminta pendapat kaum Ansar tentang kesanggupan mereka menyertainya, serta berbincang tentang tindakan apakah yang sebaik-baiknya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang itu.

ii) Peperangan Uhud (Sya’ban 3 H.)

Peperangan ini berlaku disebabkan keinginan kaum Quraisy untuk menuntut bela di atas kekalahan mereka dalam peperangan Badar dulu. Untuk itu mereka menahan (tidak membelanjakan) harta benda mereka, bahkan menjual terus kafilah perdagangan mereka untuk membiayai peperangan baru. Tidak setakat itu, bersama-sama orang Quraisy terdapat juga Bani Harith, Bani Haun dan Bani Mustaliq yang jumlah kesemuanya lebih kurang 3000 orang, termasuk kaum wanita untuk memberi semangat kepada mereka.
Oleh Nabi diadakannya musyawarah tentang bagaimana strategi buat menghadapinya. Cadangan Nabi yang dipersetujui oleh Abdullah bin Ubayy agar kaum Muslimin mempertahankan diri dari dalam negeri Madinah rupanya ditolak oleh suara majoriti yang ingin menghadapi orang-orang Quraisy di luar kota. Dengan angkatan berjumlah 1000 orang, Nabi memerintahkan agar barisan belakangnya bertahan sahaja di Bukit Uhud, biarpun barisan depan kalah atau menang. Tetapi sebaik saja angkatan Muslimin berangkat, sekumpulan kaum Munafikin pimpinan Abdullah bin Ubayy mengundurkan diri, kononnya kerana Nabi menolak usulnya. Tindakan ini berlaku selepas mereka ditemui oleh sekutu Abdullah dari kaum Yahudi yang ditolak khidmat mereka oleh Nabi, seperti sabdanya: “Jangan minta pertolongan orang-orang musyrik dalam melawan orang musyrik, sebelum mereka masuk Islam”. Berkat pimpinan yang bijaksana dan kekuatan Iman, tentera-tentera Quraisy dapat dipukul pada peringkat awalnya. Tetapi sebelum kaum Muslimin mencapai kemenangan yang bererti, tiba-tiba mereka mulai merebutkan rampasan perang, terutamanya pasukan pemanah di gunung tersebut. Kesempatan ini dipergunakan sebaik-baiknya oleh Khalid Al-Walid, ketua pasukan Makkah hingga akibatnya angkatan Madinah menjadi kucar-kacir. Bagaimanapun peperangan ini segera dihentikan, setelah seorang Quraisy berteriak yang Muhammad sudah terbunuh.
Justeru Muhammad sebenarnya masih selamat, Kaab bin Malik AI-Ansari cuba berteriak untuk memberitahu kedudukan sebenar, tetapi segera disuruh oleh Baginda agar berdiam sahaja, agar korban di pihak kaum Muslimin tidak bertambah hebat. Dalam peperangan ini, dari kalangan Muslimin gugur 70 orang, termasuk,Hamzah bin Abdul Mutalib yang dipanah oleh Wahsyi.

Lanjutan Peperangan Uhud:

1.    Selesai sahaja peperangan ini, Bani Azad dan Bani Hudhail cuba mengambil kesempatan untuk menyerang Nabi. Bagaimanapun Bani Asad dapat dimusnahkan oleh Nabi, demikian juga ketua Hudhail iaitu Khalid bin Sufyan telah dibunuh oleh Abdullah bin Unais. Sebagai tipu muslihat, kabilah Hudhail lalu meminta agar Nabi mengirimkan kepada mereka pendakwah-pendakwah, yang nampaknya segera dipenuhi oleh Nabi. Malangnya tiga orang daripadanya telah dibunuh oleh mereka, sedang dua orang yang lain telah dibawa ke Makkah untuk dijual, dan kemudiannya dibunuh oleh orang-orang Quraisy.
2.  Atas permintaan Abu Sara’, Nabi mengirim satu delegasi ke Najd untuk mengajak penduduk-penduduknya masuk Islam. Tetapi bila sampai di Bi’r Ma’unah, mereka diserang oleh Amr bin Tufail, kecuali Amru bin Umaiyah yang dapat menyelamatkan dirinya. Dalam perjalanan pulang, Amru lalu membunuh dua orang dari Bani Kilab bin Rabiah yang disangkanya telah membunuh teman-temannya itu. Kerana Bani Kilab telah mengikat perjanjian ‘Jiwar’ (bertetangga baik) dengan Nabi, terpaksalah dibayar diat kepada mereka. Untuk itu Nabi cuba meminta bantuan Yahudi Bani Nadhir. Tetapi ketika Nabi menunggu bantuan mereka, Bani Nadhir lalu mengambil kesempatan untuk membunuh Nabi. Ini memaksa Nabi untuk pulang segera, dan kemudian mengatur suatu serangan terhadap mereka. Hal ini akan kita bicarakan nan ti.
3. Kemenangan orang-orang Quraisy menjadikan mereka semakin ghairah untuk mengerahkan tenteranya sekali lagi untuk menghancurleburkan kaum Muslimin. Sebab itu mereka mencabar Nabi untuk berperang semula, yang nampaknya segera disambut oleh Nabi. Tetapi ketika Nabi menunggu mereka di Badar, pasukan tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb itu kembali pulang ke Makkah. Tindakan ini telah menaikkan kembali imej kaum Muslimin yang tertewas dalam peperangan Uhud itu.
Beberapa nota:
1. Sekali lagi Nabi menghormati prinsip musyawarah, hingga sanggup diketepikan pendapatnya untuk memilih pendapat majoriti.
2.  Pengaruh harta kadang kalanya dapat melemahkan kekuatan iman.
3.  Sesungguhpun tipu muslihat diizinkan dalam peperangan, tetapi orang-orang Islam dilarang meminta bantuan orang-orang musyrik untuk melawan orang-orang musyrik juga.
4.   Jika dalam peperangan Badar dulu kaum Orientalis menempelak kaum Muslim ini sebagai ‘dahagakan darah’ kerana membunuh dua orang tawanan Quraisy, tetapi apabila tindakan yang sama dilakukan oleh Bani Hudhail dan kaum Quraisy sendiri terhadap mubaligh-mubaligh Islam (yang tidak berdosa dan tidak pula dalam peperangan), para Orientalis nampaknya membisu seribu bahasa!

iii) Peperangan Al-Ahzaab (5 H.)

Beberapa faktor yang saling kait mengait telah membawa kepada meletusnya peperangan ini. Yang penting sekali ialah peranan Yahudi Bani Nadhir yang bertanggungjawab mengumpulkan suatu barisan oposisi yang besar, iaitu berjumlah 10,000 orang yang terdiri dari pasukan-pasukan Quraisy, Bani Murrah, Bani Ghatfan, Bani Asad, Bani Asjad, Bani Salim dan Bani Nadhir sendiri.
Penglibatan kaum Quraisy bersama sekutu-sekutu lain (Al-Ahzaab) bukan tidak ada sebabnya. Kalau dengan kemenangan mereka dalam peperangan Uhud tersebut telah menguatkan semula azam mereka untuk mencapai kemenangan muktamad, maka faktor masa depan perniagaan mereka sentiasa membisik-bisik di telinga mereka agar kaum Muslimin dimusnahkan terus. Sebagai kawasan lalu-lalang bagi kafilah-kafilah perdagangan Quraisy ke Sham, maka wujudnya Madinah merupakan gangguan besar terhadap survival mereka. Jadi dari pihak Quraisy sendiri timbul semacam keperluan bahkan kewajipan agar Madinah dihancurleburkan.
Mendengar persiapan tentera-tentera bersekutu (Al-Ahzaab) sebegitu hebat, Rasulullah lalu berunding dengan sahabat-sahabatnya tentang strategi bagaimana yang sebaiknya diambil. Atas cadangan Salman Al-Farisi, tergalilah parit besar (Khandaq) sepanjang 12,000 hasta merentangi kota Madinah. Dengan merapatkan rumah-rumah serta mengelompokkan anak-anak isteri di suatu tempat yang dikira selamat, jadilah kota Madinah sebuah benteng pertahanan yang kukuh.
Melihat benteng yang ganjil itu, tentera Al-Ahzaab mula mengalami kesulitan untuk melakukan serangan. Memang terdapat seorang dua pahlawan Quraisy yang cuba melangkahinya, tetapi gagal belaka. Meskipun hampir sebulan lamanya mereka mengepung yang menyebabkan kaum Muslimin menjadi gawat (Al-Ahzaab: 10), tetapi yang sebenamya menanggung keperitannya ialah pihak bersekutu sendiri.Mereka bukan sahaja harus mengalami kesusahan musim dingin, bahkan juga mengalami kebuluran lantaran ramainya jumlah mereka.
Sebagai suatu angkatan besar yang mempunyai berbagai golongan dengan kepentingan dan ketuanya sendiri, sukarlah untuk mengelakkan diri dari keinginan merebut pucuk pimpinan. Demikianlah yang terjadi apabila Abu Sufyan bin Harb merasakan dirinya sebagai Ketua Tertinggi yang mana tidak disenangi oleh sekutu-sekutunya yang lain. Apa lagi pada pertimbangan mereka bahawa pihak yang benar-benar berkepentingan dalam hal ini hanyalah kaum Quraisy dan Yahudi sahaja, sedangkan mereka tidak lebih sebagai alat semata-mata. Semuanya ini menimbulkan bibit-bibit keretakan dalam kalangan mereka. Keretakan ini kemudiannya diperhebatkan lagi oleh Nu’aim bin Mas’ud, seorang pemimpin Bani Ghatfan yang secara senyap-senyap memeluk Islam. Dengan direstui oleh Nabi, beliau lalu melaga-lagakan tentera bersekutu dengan Yahudi Bani Quraidzah, hingga akibatnya masing-masing pihak mulai meragui kejujuran pihak lain.
Walau bagaimanapun, faktor terbesar yang memaksa tentera bersekutu segera berangkat ialah pertolongan Allah dalam bentuk angin badai (Al-Ahzaab: 9, 25) yang mengakibatkan alat-alat kelengkapan dan bekalan musuh habis berterbangan. Maka bertempiaranlah orang-orang Quraisy lari ke Makkah pada malam itu juga.
Dengan kegagalan tersebut maka hilanglah harapan kaum Quraisy buat menghancurkan kaum Muslimin. Mereka bukan sahaja terpaksa mengalami kesusutan dalam perniagaan, bahkan lebih hebat lagi ialah jatuhnya martabat mereka di mata kabilah-kabilah Arab yang lain. Sebaliknya pula imej kaum Muslimin kembali pulih, dan mereka kini sudah dapat menghidu tanda-tanda kekalahan abadi kaum Quraisy.
Ada pun bagi Bani Quraidzah yang sanggup bekerjasama dengan Bani Nadhir dalam saat-saat yang menentukan itu, maka Nabi lalu mempercayai Saad bin Ubadah dan Saad bin Muaz untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan tindak-tanduk mereka. Kecuali kanak-kanak dan kaum wanita, semua mereka yang terlibat telah dibunuh, yakni setelah dikepung selama kira-kira 25 hari. Dalam peperangan Al-Ahzaab ini, di pihak kaum Muslimin gugur 6 orang, termasuk Saad bin Muaz sendiri selepas menyelesaikan hukumannya terhadap Bani Quraidzah. Sedangkan di pihak musyrikin, yang gugur cuma 3 orang sahaja.
Sebaik sahaja selesai menghancurkan Bani Quraidzah, Nabi menyiapkan pula sebuah pasukan untuk membalas kematian mubaligh-mubalighnya dua tahun dulu. Tetapi oleh kerana Bani Lihyan (sekutu Bani Hudhail) menarikan diri, tidak pula Nabi meneruskan serangannya.

iv) Peperangan Bani Mustaliq (5 H.)

Dengan dipimpin oleh Al-Harith bin Abi Dhirar, Bani Mustaliq berpakat untuk membunuh Muhammad. Tetapi berita ini diketahui oleh Baginda, lalu dikirimnya pasukan tentera atas pimpinan bersama Abu Bakar Al-Siddiq dan Saad bin Ubadah. Tidak sukar bagi pasukan Muslimin untuk menumpaskan mereka. Sebenarnya peperangan itu sendiri tidaklah penting; yang penting ialah kesan-kesannya yang membawa malapetaka terhadap kaum Muslimin, dan khususnya keluarga Rasulullah sendiri.
Segala sesuatu bermula apabila timbul bibit-bibit prasangka di antara seorang Ansar dengan Muhajirin sebaik sahaja selesai peperangan ini. Rupanya api prasangka yang dapat dipadam itu lalu dicurahkan minyak oleh Abdullah bin Ubayy, agar ia bertambah merebak. Tindak-tanduk Abdullah itu segera sampai ke pengetahuan Rasulullah, tetapi segera pula dia menafikannya. Kerana sungguh marah, Umar meminta agar Abdullah dibunuh saja, tetapi ditolak oleh Nabi. Bahkan permintaan putera Abdullah yang juga bernama Abdullah untuk membunuh ayahnya, juga ditolak oleh Nabi. Cuma yang diperintahkan oleh Nabi ialah agar kaum Muslimin segera beragkat dari Muraisi’ itu.
Ketika angkatan Muslimin tiba di Madinah, tanpa disedari mereka telah meninggalkan Aishah r.a. yang terpaksa berhenti untuk menunaikan hajatnya. Sewaktu menanti kalau-kalau rombongan itu datang mencarinya, tiba-tiba lewat Safwan bin AI-Mu’attal di situ. Maka dibawanya Aishah bersamanya menuju Madinah. Rupanya langkah Safwan itu telah dieksploitasi sebaik-baiknya oleh Abdullah bin Ubayy, yang lalu menyebarkan ‘Pesona Keji’ (Hadithul-ifki) terhadap Aishah.
Akibatnya bukan sahaja sangat mendukacitakan Rasulullah, bahkan Aishah sendiri jatuh sakit sampai Iebih 20 hari. Hampir setiap sahabat-sahabatnya yang ditemui oleh Nabi, kebanyakannya tetap meyakini kebaikan Aishah, kecuali Ali bin Abu Talib yang semacam ragu-ragu seperti katarya: “Rasulullah, wanita yang lain banyak”. Hanya setelah mengalami kebuntuan itulah baru Nabi menemui isterinya untuk meminta pengakuan darinya. Kerana tidak bersalah, Aishah lalu berkata: “Demi Allah, saya sama sekali tidak akan bertaubat kepada Tuhan seperti yang kau sebutkan itu …. Bagaimanapun Allah kemudiannya telah membersihkan peribadi Aishah melalui firman-Nya (Al-Nur 11-19), yang dengan itu kembalilah semula Aishah ke dalam hati Muhammad. Akan hal mereka yang turut menyiarkan fitnah itu, masing-masingnya dihukum dera 80 kali.

v) Perjanjian Hudaibiah dan Implikasinya (6 H.)

Perasaan nostalgia atau rindukan kampung halaman adalah suatu penyakit yang sering melanda mereka yang berada di perantauan. Demikianlah yang terjadi para Rasulullah setelah 6 tahun di Madinah, hingga pernah Baginda bermimpi tentang kepulangannya ke Makkah. Bertolak dari kerinduan yang amat sangat serta berbetulan pula dengan ketibaan ‘Asyhurul-hurum’ (bulan-bulan suci) maka bersiap-siaplah kaum Muslimin untuk mengerjakan Umrah, bukannya untuk menyerang Makkah seperti dakwaan Bernard Lewis.
Untuk membuktikan kebenaran niat suci mereka, bersama golongan Muslimin terdapat kabilah-kabilah bukan Islam. Malah untuk menghilangkan kesangsian kaum Quraisy terhadap mereka, kaum Muslimin sudah pun memakai pakaian ihram sejak berlepas dari Madinah lagi tanpa didampingi oleh senjata-senjata penting, kecuali pedang dalam sarungnya yang biasa dibawa orang dalam perjalanan. Begitu pun pihak Quraisy tetap meragui kedatangan mereka, maka diutuskanlah perwira abadi Khalid AI-Walid dan lkrimah bin Abu Jahal untuk menyerkap angkatan Muslimin sebelum tibanya ‘Asyhurul-hurum’. Tetapi kaum Muslimin menempuh jalan lain yang kemudiannya membawa mereka ke Hudaibiah (sekarang Shumaisi’ ), tidak jauh dari Makkah. Sesampainya mereka di situ maka tibalah Asyhurul-hurum yang mengharamkan segala bentuk -peperangan. Maka kembalilah angkatan Quraisy itu ke Makkah untuk mempertahankannya jika diserbu oleh kaum Muslimin.
Melalui Budail bin Warqa’ dari suku Quzaah, orang-orang Quraisy diyakinkan bahawa Muhammad datang cuma untuk berziarah, bukannya untuk berperang. Bahkan melalui Hulais pemimpin Ahabisy yang diutus oleh kaum Quraisy menemui Muhammad itu pun mereka mendapat cerita yang sama seperti Budail tersebut. Demikian juga utusan mereka yang terakhir, Urwa bin Masud yang kembali memberitahu orang-orang Quraisy tentang kebenaran cerita Budail dan Hulais itu.
Dalam pada itu berlakulah serangan-serangan kecil terhadap perkhemahan Muhammad oleh sekumpulan orang-orang Quraisy, tetapi tidak pula Muhammad menjadikannya sebagai alasan untuk menyerang balas, sebab niat asal cuma untuk berziarah sahaja. Hanya setelah tersebamya desas-desus tentang terbunuhnya Usman bin Affan itulah baru timbul kemarahan kaum Muslimin, hingga tercapai kata sepakat untuk menuntut bela terhadap Usman yang terkenal dengan ‘Bai’atur-ridhwan” (Sumpah Setia).
Bagaimanapun khabar angin itu nyata palsu, sebab tiba-tiba Usman muncul dengan selamat. Menurut Usman, keengganan orang-orang Quraisy untuk membenarkan mereka masuk adalah kerana takut dianggap sebagai sudah mengalah kepada Muhammad. Demikian juga apabila mereka mengutus Suhail bin Amru untuk berunding dengan Muhammad, yang sangat ditekankan ialah agar Muhammad jangan masuk ke Makkah tahun ini, takut dianggap oleh kalangan Arab yang Muhammad berjaya masuk tanpa dengan kekerasan. Akhirnya dengan persetujuan bersama, diadakanlah perundingan hingga melahirkan ‘Perjanjian Hudaibiah.’
Faktor utama kesanggupan pihak Quraisy mengadakan perjanjian ini ialah kerana kebimbangan mereka terhadap semangat kaum Muslimin yang meluap-luap untuk berperang mati-matian. Mereka juga telah melihat betapa kukuhnya disiplin umat Muslimin terhadap penganjur mereka Muhammad, tidak seperti kepatuhan yang longgar oleh rakyat-rakyat Parsi dan Rom terhadap raja mereka.
Antara lain isi kandungan Perjanjian Hudaibiah ialah:
1.   Gencatan senjata selama 10 tahun.
2.   Orang Quraisy yang memeluk Islam yang lari ke Makkah tanpa keizinan walinya hendaklah dikembalikan kepada orang-orang Quraisy.
3.   Sebaliknya orang-orang Islam yang belot ke Makkah tidaklah akan dikembalikan.
4.   Masing-masing pihak berhak membuat perjanjian dengan sesiapa sahaja.
5.   Umrah hendaklah ditunda tahun depan, dan ianya dibenarkan selepas pihak Quraisy keluar dari Makkah. Mereka hanya boleh berada di Makkah selama 3 hari saja dengan senjata dalam sarung.
Sepintas lalu kelihatan semacam ketidakadilan dalam persetiaan ini sehingga menimbulkan kemarahan kaum Muslimin. Apa lagi sebaik sahaja perjanjian dimeterikan, anak Suhail iaitu Abu Jandal cuba berpihak kepada Muhammad, tetapi segera pula dipukul mukanya dan direnggut lehernya oleh Suhail. Dan sungguhpun Abu Jandal cuba meminta kasihan belas dari Muhammad, namun Baginda tetap memegang teguh perjanjian tersebut. Baik Umar, baik Ali serta kaum Muslimin semuanya merasakan betapa terhinanya mereka kerana perjanjian yang berat sebelah itu. Dan puncak kemarahan mereka ialah apabila mereka enggan mematuhi lagi perintah Nabi agar menggunting rambut dan menyembelih binatang sebagai dam (denda) kerana tidak dapat mengerjakan Umrah. Mujurnya isteri Baginda Ummu Salamah ada bersamanya sehingga atas cadangannyalah baru kaum Muslimin melaksanakan suruhan Baginda tersebut.
Demikian reaksi spontan kaum Muslimin. Bagaimanapun kesan selanjutnya memperlihatkan kebijaksanaan Rasulullah sebagai pemimpin umat yang berpandangan jauh. Sesungguhnya dengan persetujuan orang-orang Quraisy untuk berdialog serta mengadakan perjanjian itu sudah merupakan suatu pertanda baik tentang pengiktirafan mereka terhadap wujudnya sebuah Negara Islam dengan Muhammad sebagai pemimpinnya.
Pada hakikatnya gencatan senjata yang dipersetujui itu adalah suatu rahmat besar terhadap perkembangan Islam. Ketika inilah kita melihat ramai panglima-panglima besar Quraisy memeluk Islam, seperti Khalid Al-Walid, Amru ibnul-Ass dan Usman bin Talhah, penjaga Kaabah. Persetujuan seperti ini juga memberi kesempatan kepada Nabi untuk mengirim utusan-utusannya kepada pembesar-pembesar dan raja-raja yang berdekatan agar mereka memeluk Islam. Kepada Raja Najasyi di Habshah diutuskannya Amir bin Umayyah yang mana berhasil mencapai matlamatnya. Ini tidaklah menghairankan kerana sejak dari dahulu lagi Raja Najasyi sudah pun tertarik kepada Islam yang dianggapnya datang dari sumber yang sama dengan risalah Isa Al-Masih.
Terhadap Raja Muqauqis di Mesir (naungan Rom), meskipun ia enggan menerima seruan Islam menerusi Habib bin Abi Baltaah Al-Lahmi, tetapi ia menyambut baik perutusan Nabi sehingga kepada Nabi dihadiahkan barang-barang yang bernilai, termasuk seorang jariah yang bernama Mariah yang kemudiannya diperisterikan oleh Nabi. Latar belakang keengganannya menerima Islam ialah kerana kedudukannya sebagai seorang Gabenor kerajaan Rom, penaung agama Nasrani. Sebenarnya kepada Raja Rom sendiri iaitu Heraclius telah ditugaskan Dihyah bin Khalifah Al-Kalbi untuk menyerunya. Sungguhpun hati kecilnya dikatakan ingin membenarkan kenabian Muhammad, tetapi pengaruh kerajaan dunia telah menenggelamkan keinginannya tersebut. Walau bagaimanapun salah seorang pemimpin tentera Rom, Farwa bin Amr Al-Judhrami telah memeluk Islam. Kerana marah, Heraclius lalu membunuhnya.
Adapun terhadap Raja Abrawaiz di Parsi, tugas membawa suratnya dijalankan oleh Abdullah bin Hudzafah AI-Sahmi. Tatkala Kisra Parsi ini melihat dalam surat itu terdapat kata-kata “Dari Muhammad Rasulullah kepada Kisra pembesar Parsi”, marahlah dia kerana namanya dikebelakangkan. Sebab itu dirobek-robeknya surat itu. Yang lebih mengecewakan lagi ialah utusan kepada Raja Ghassan yang mana bukan sahaja dikoyaknya surat itu, malah utusan itu dibunuhnya. Akibat tindakannya yang mencabuli hukum internasional inilah yang mencetuskan peperangan Muktah pada 8 H.
Kesan yang tidak kurang pentingnya akibat gencatan senjata juga ialah timbulnya kesempatan baik buat kaum Muslimin memukul balas kaum Yahudi yang sekian lama merupakan duri dalam daging bagi kehidupan kaum Muslimin. Demikianlah pada 8 H. Khaibar telah diserang oleh angkatan Muslimin.
Tentang syarat yang memastikan pengembalian orang-orang Quraisy yang lari ke Makkah itu pun sebenamya merugikan kaum Quraisy sendiri. Sebabnya mereka ini apabila ditolak oleh Nabi secara terhormat tidak pula kembali ke Makkah, sebaliknya mereka mendirikan penempatan-penempatan sepanjang jalan-jalan yang dilalui oleh kafilah-kafilah perdagangan Quraisy. Atas sifatnya sebagai pemberontak, kegiatan mereka ini merupakan suatu ancaman besar terhadap keselamatan perdagangan Quraisy. Sebab itulah kemudiannya pihak Quraisy meminta dibatalkan saja syarat pengembalian tersebut.
Bagaimanapun Perjanjian Hudaibiah hanya berlangsung selama dua tahun saja apabila orang-orang Quraisy sendiri melanggar syarat¬syaratnya. Dan pembelotan tersebut merupakan alasan besar bagi kaum Muslimin untuk menakluki Makkah pada 8 H. secara aman.

vi) Peperangan Muktah (8 H.)

Dengan adanya perjanjian damai Hudaibiah itu, Rasulullah telah memperhebatkan dakwah Islamiah. Di antara mereka yang diserunya ialah Bani Ghassan, tetapi utusannya telah dibunuh oleh mereka, bahkan mereka mengejek-ejek pula Nabi. Sebagai tindak-balas, Nabi menyiapkan suatu bala tentera pimpinan Zaid bin Harithah yang berjumlah tiga ribu orang. Sedang di pihak Ghassan terdapat kira-kira 200,000 orang, termasuk bangsa Rom, Lakhm,Judhm, Bahra’ dan Bali.
Dalam peperangan Muktah ini, Zaid gugur, lalu diganti oleh Abdullah bin Abi Rawahah yang juga gugur, dan diambilalih pula oleh Jaafar bin Mu Talib yang turut gugur seperti teman-temannya. Melihat kesukaran-kesukaran yang dialami oleh pasukan Islam itu, akhirnya Khalid Al-Walid yang mengambilalih pimpinannya telah dapat memperdayakan barisan musuh, dan kemudiannya berjaya membawa saki-baki tentaranya pulang ke Madinah dengan selamat.
Di Madinah, timbul tuduhan-tuduhan bahana Khalid melarikan diri dari peperangan, tetapi ditolak oleh Nabi dengan mengatakan bahawa mereka akan tampil semula. Lantaran dukacitanya di atas kematian Jaafar, Nabi meminta agar keluarganya dibantu dengan makanan.
Beberapa nota:
1.   Sungguhpun melarikan diri dari peperangan itu suatu dosa besar, tetapi lari untuk suatu taktik memang dibenarkan.
2.   Permintaan Nabi agar diberi makanan untuk keluarga Jaafar menjelaskan suatu hakikat bahawa keluarga si matilah yang sepatutnya dibantu, bukannya mereka sendiri yang terpaksa mengadakan jamuan untuk orang lain seperti amalan kita masa kini.

vi) Penaklukan Makkah (8 H.)

Faktor yang mendorong ke arah penaklukan Makkah ialah berlakunya perselisihan antara Bani Bakar (sekutu Quraisy) dengan Bani Quzaah (sekutu Islam). Dengan dorongan pemimpin-pemimpin Quraisy, seperti Ikrimah bin Abu Jahal misalnya, Bani Quzaah telah diserang dan beberapa orang daripada mereka telah dibunuh oleh Bani Bakar. Insiden ini kemudiannya sampai ke telinga Nabi, baik melalui Budail bin Warqa’ mahupun dari orang-orang Quzaah sendiri.
Kerana bimbangkan akibatnya, orang-orang Quraisy mengutus Abu Sufyan bin Harb ke Madinah untuk memperkuat atau memperpanjangkan waktu gencatan senjata Hudaibiah. Malangnya Abu Sufyan gagal berbuat demikian kerana tidak dapat menemui Nabi. Dan sebelum orang-orang Quraisy berbuat sesuatu, Muhammad sudah menyiapkan suatu pasukan yang besar, kira-kira 10,000 orang untuk menyerang Makkah. Tetapi sebelum angkatan ini sampai ke Makkah, tibalah Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi yang baru memeluk Islam itu dan diikuti oleh Abu Sufyan menemui Nabi untuk menghalang daripada berlakunya pertumpahan darah. Dalam pertemuannya dengan Nabi inilah baru Abu Sufyan menyatakan kelslamannya, setelah tidak ada pilihan lain Iagi baginya. Dan sebelum dia pulang kepada kaumnya, Abu Sufyan sempat menyaksikan betapa berdisiplinnya angkatan Muhammad, yang baginya “tidak ada sesiapa yang sanggup menghadapi mereka itu.”
Bala tentera Islam kemudiannya diperintahkan memasuki Makkah dari empat jurusan, yang masing-masingnya dipimpin oleh Zubair Al-Awwam, Khalid Al-Walid, Saad bin Ubadah dan Abu Ubaidah AI-Jarrah yang masuk bersama-sama Muhammad. Tidak ada tentangan yang bererti, kecuali di pihak Khalid sahaja, itu pun dengan cepat pula Khalid mencera-berakan mereka. Dengan jatuhnya Makkah, kaum Muslimin lantas menyerjakan tawaf, menghancurkan patung-patung dan berhala-berhala di Makkah. Kesemua penduduk-penduduk Makkah dibebaskan saja oleh Muhammad, kecuali 17 orang yang dikecualikan dari pengampunannya kerana kejahatan besar yang mereka lakukan. Tetapi yang benar-benar dibunuh cuma 4 orang sahaja, sebab yang lain-lainnya diampunkannya juga.
Selama 15 hari Nabi berada di Makkah, dan sebelum kembali ke Madinah, Nabi menyerahkan kunci Kaabah kepada Usman bin Talhah, sedang pengurus air Zam-zam diserahkan kepada bapa saudaranya Abbas bin Abdul Mutalib.
Nota:
1. Walaupun Muhammad bersifat pengampun (compassionate), nama mereka yang dianggap sangat merbahaya tidaklah luput dari hukumnya. Sikap toleransi Islam tidaklah sampai dapat melepaskan penjenayah-penjenayah besar begitu saja.

vii) Peperangan Hunain Dan Taif (8 H.)

Baru sahaja Rasulullah rnembebaskan Makkah, Baginda terpaksa pula menghadapi penentangan Malik bin Auf, pemimpin Bani Nasr (cabang Bani Hawazin) yang memimpin kelompok-kelompok Hawazin dan Thaqif. Dengat jumlah yang relatif besar, iaitu 12,000 orang, tampillah kaum Muslimin dengan penuh bangga menghadapi tentangan tersebut (Al-Taubah: 25). Tetapi sebaik sahaja mereka melalui lembah Hunain, mereka disergap bertubi-tubi oleh tentera-tentera Malik hingga menyebabkan pasukan Islam kucar-kacir dan bertempiaran lari. Namun Rasulullah tetap utuh di tempatnya, dan dengan pekikan Abbas bin Abdul Mutalib agar mereka kembali berperang, barulah mereka kembali semula. Kali ini kaum Muslimin dapat memukul musuh, hingga mereka pula yang melarikan diri. Ada yang menuju Autas, ada yang ke Nakhlah, sedang Malik dan penyokong-penyokongnya menuju Taif, kota Bani Thaqif.
Oleh kerana pihak musuh kini bertahan di Taif, Rasulullah mengepung kota tersebut.Sungguhpun digunakan berbagai cara, seperti alat AI-Manjanik (pelontar batu) dan AI-Dabbabah (pengorek dnding tembok), tapi gagal juga. Dengan itu Rasulullah menggunakan taktik lain, iaitu mengugut untuk membakar kebun aggur mereka yang sangat mereka cintai itu. Rupanya ugutan ini sangat berkesan, sehingga dengan itu menyerahlah Malik bin Auf. Dan sebelum Baginda pulang ke Madinah, dilantiknya Attab bin Asid sebagai Gabenor Makkah, dan Muaz bin Jabal sebagai guru agama.

ix) Peperangan Tabuk (9 H.)

Inilah peperangan terakhir yang disertai Nabi kerana menentang Rom, yang mana turut dibantu oleh Bani Lakhm, Bani Ghassan dan lain-lain. Peperangan ini terjadi di musim yang amat panas, hingga terdapat mereka yang enggan menyertainya (Al-Taubah: 38, 42, 81-83. Bagaimanapun mereka yang teguh imannya tetap bersana Nabi (Al-Taubah: 120-121), hingga sanggup pula mengorbankan harta bendanya yang banyak, seperti Usman Affan misalnya. Bagi mereka yang tidak mampu menghulurkan apa-apa sumbangannya, lalu menangis, hingga mereka digelar ‘Al-Bakka’un’ (orang-orang yang menangis). Maka terbentuklah suatu ketumbukan tentera yang dikenali sebagai Jaisyul-Usrah’ (Askar di saat kesulitan) yang cukup besar, iaitu seramai 30,000 orang, termasuk 10,000 angkatan berkuda.
Ketika kaum Muslimin sampai ke Tabuk, pasukan musuh sangat terkejut melihat kedatangan bala tentera Islam, sebab mereka sedikit pun tidak menduga yang kaum Muslimin sanggup berjuang di tengah hawa yang begitu panas. Sebab itu mereka lalu berundur, tetapi kaum Muslimin tidak pula menyerang mereka. Sebaliknya Rasulullah berkhemah di situ, dan membuat beberapa perjanjian dengan penduduk¬penduduk Tabuk dan Ailah, serta menakluki Daumatul-Jandal di bawah pimpinan Khalid Al-Walid.

3. MENGHADAPI GOLONGAN MUNAFIKIN DAN YAHUDI

i) Golongan Munafiqin

Golongan yang berpura-pura memeluk Islam ini diketuai oleh Abdullah bin Ubayy bin Salul, seorang pemimpin Arab dari suku Khazraj yang sebelum kedatangan Muhammad telah dicalonkan sebagai Raja Kota Madinah. Ini kerana sikapnya yang neutral (berkecuali) dalam Perang Buath terutama ketika seorang pemimpin Khazraj, Amru bin Nukman telah bertindak membunuh tawanan-tawanan Yahudi Bani Quraidzah dan Bani Nadhir kerana memihak kepada suku Aus. Tetapi dengan ketibaan Muhammad, terkuburlah segala cita-citanya yang sekian lama tersebut. Maka tak hairanlah jika kerana itu kaum Munafiq lalu menjadi musuh dalam selimut yang kalau bersama Nabi begitu sekali sopan-santunnya, tetapi jika ada kesempatan mau saja dihapuskannya. Begitupun Nabi sentiasa bersikap lunak terhadap mereka sehingga baginda tidak merasakan perlunya disediakan apa-apa bentuk pertahanan dari mereka: melainkan sekadar tunggu dan lihat sahaja.
Pernah terjadi suatu ketika apabila Rasulullah menunggang keldai untuk menziarahi Saad bin Ubadah, di tengah jalan baginda perpapasan dengan Abdullah bin Ubayy bersama-sama orang-orang Yahudi dan musyrik yang lain. Melihatnya Abdullah lalu meminta Nabi menyimpang jauh lantaran bau keldai yang katanya busuk dan mengeluarkan debu-debu bertaburan. Ini menimbulkan kemarahan seorang Islam lalu mengatakan bahawa bau keldai Rasulullah lebih wangi dari bau badan Abdullah sendiri. Akibatnya berlakulah pertengkaran kecil dengan menggunakan pelepah tamar di antara sahabat-sahabat Nabi dengan pengikut-pengikut Abdullah bin Ubayy.
Akhirnya Rasulullah meleraikannya di samping membacakan Al-Quran sebagai ingatan kepada mereka. Maka berkatalah Abdullah: “Benar! Tiada yang lebih indah dari kata-kata Tuan. Tetapi jika ia benar, hendaklah Tuan duduk diam di tempat Tuan. Sesiapa yang datang kepada Tuan silalah Tuan berbicara dengannya, tetapi orang yang tidak datang, Tuan jangan mendesaknya!” Setelah itu Nabi terus menemui Saad bin Ubadah dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Abdullah tersebut. Mendengarnya Saad berkata: “Kasihanilah dia Rasulullah, kerana waktu Tuan datang ke sini, kami telah pun menyiapkan rotan untuk mahkotanya. la menganggap Tuanlah orangnya yang merampas hak kerajaan dari tangannya.”

Kecurangan kaum Munafiq lebih ketara lagi dalam saat-saat yang menentukan, terutamanya dalam peperangan. Misalnya apabila tentera Islam baru saja berangkat untuk menghadapi Perang Uhud (3H.), Abdullah bin Ubayy bersama-sama pengikutnya yang berjumlah 300 orang lalu kembali ke Madinah, kononnya kerana Nabi tidak menerima usulnya agar musuh-musuh dihadapi dalam kota saja. Kemudiannya dalam Perang Al-Ahzaab (5H.), mereka enggan bekerjasama dengan Nabi untuk menggali parit (Khandaq), malah mereka menawarkan pertolongan kepada Yahudi Bani Quraidzah yang mujurnya tidak jadi diberikan.
Dalam perjalanan kembali dari Perang Bani Mustaliq (6H), Abdullah telah menghasut pengikut-pengikutnya agar memberontak terhadap Rasulullah serta orang-orang Muhajirin yang disifatkannya sebagai oportunis. Tidak cukup setakat itu, dalam peristiwa “Hadisthul-Ifki” (pesona keji) terhadap peribadi Saiyidatina Aishah, merekalah yang menjadi biang keladinya sehingga dikatakan Saiyidina Ali sendiri hampir mempercayainya. Dan dalam Perang Tabuk (9H.) pula, mereka sekali lagi menarik diri kononnya kerana tidak tahan dengan suhu panas. Anehnya selesai saja perang tersebut, mereka lalu meminta izin daripada Nabi untuk ikut berperang yang mana dengan tegas ditolak oleh Nabi. Malah sebelum Nabi berangkat ke Tabuk itu, mereka telah mendirikan masjid Dhirar di Quba sebagai markas perundingan mereka buat menghancurkan Islam. Begitupun masjid ini lalu diroboh dan dibakar oleh Nabi sekembalinya dari perang tersebut.
Semuanya itu memperlihatkan sikap mereka yang bukan sahaja menimbulkan kemarahan kaum Muslimin, bahkan anaknya sendiri Abdullah bin Abdullah bin Ubayy dikatakan pernah meminta kebenaran daripada Rasulullah untuk membunuh ayahnya tetapi ditegah oleh baginda. Dan apabila Abdullah meninggal, Nabi masih ingin menunjukkan sikap timbang-rasanya sehingga sanggup menyembahyangkan jenazahnya, tetapi tindakan baginda itu kemudiannya telah dilarang oleh Allah s.w.t. (At-Taubah: 84).

ii)     Golongan Yahudi

Di antara golongan yang paling berpengaruh dan ramai pula jumlahnya ialah kaum Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraidzah. Dengan termetrinya perjanjian antara mereka dengan Bai, terpaksalah sikap protes mereka dipendamkan buat sementara waktu. Dan memangnya pada tahap awalnya mereka mengira bahawa pihak Quraisy sendiri berupaya menghancurkan Islam, tetapi sebaliknya mereka dapati pengaruh Islam semakin tersebar. Tidak setakat itu sahaja, kewibawaan Muhammad dalam mengintegrasikan suku Aus dengan Khazraj menjadikannya suatu ancaman besar kepada mereka yang selama ini hidup di atas perpecahan suku-suku tersebut. Maka demi masa depan mereka, perlulah Islam atau Muhammad khususnya dilenyapkan. Untuk itu dipergunakan pelbagai taktik secara berperingkat-peringkat seperti mana tentangan orang-orang Quraisy dulu.
Langkah pertama ialah secara peperangan lisan dengan menimbulkan keraguan-keraguan kaum Muslimin terhadap Allah sebagai Pencipta dengan yang diciptakan. Tentangan seperti ini dengan mudah ditangkis oleh Nabi dengan turunnya ayat:Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dan tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia” (Al-Ikhlas: 1-4).
Setelah cara ini gagal dalam menggoncangkan iktiqad kaum Muslimin, mereka kembali mengadu-dombakan antara orang-orang Aus dan Khazraj agar mereka kembali bercerai-berai seperti dulu. Tetapi untunglah Muhammad segera menyedarkan mereka sehingga timbul keinsafan sambil memohon keampunan kepada Allah. Apabila ini pun tidak mampan, mereka lalu berusaha agar Nabi terhindardari Madinah. Kata mereka: “Semua Rasul yang terdahulu telah mengunjungi BaitulMaqdis dan menetap di sana. Kerana itu apabila engkau (Muhammad) orang yang benar menjadi Rasul, adalah sudah sewajarnya berbuat seperti itu”. Tetapi dengan turunnya ayat Al-Quran (Al-Baqarah: 144) yang menghendaki agar baginda berkiblat ke Baitullah setelah 16 bulan menghadap ke Baitul-Maqdis, timbul pula bantahan dari kaum Yahudi sambil mengatakan bahawa mereka akan mengikutinya sekiranya baginda balik semula mengadap kiblat lamanya. Lantaran peristiwa turunlah ayat Al-Quran (AI-Baqarah: 145) yang memperlihatkan isi hati mereka yang curang itu.
Demi memelihara kesatuan umat, Rasulullah lalu mengajak kesemua golongan Yahudi dan Nasrani untuk bermubahalah (Ali-Imran: 61) yakni masing-masing pihak mendoa kepada Allah agar menjatuhkan laknat di saat itu juga. Bagaimanapun mereka menolaknya justeru kebenaran Muhammad yang mereka sendiri mengakui akibat buruknya jika disambut juga cabaran tersebut. Meskipun pihak Yahudi tidak terlibat sepenuhnya dalam Muktamar ini, tetapi niat asalnya memang ingin mengeruhkan suasana yang mana dengan cabaran bermubahalah itu menyebabkan mereka mendiamkan diri. Dan dengan kegagalan inilah baru mereka menempuh jalan kekerasan pula. Dan golongan yang pertama menunjukkan belangnya ialah Bani Qainuqa.
Dikatakan bahawa kemenangan besar kaum Muslimin dalam Perang Badar telah sengaja diperkecil-kecilkan oleh Bani Qainuqa. Bahkan sanggup pula mereka mencabar agar menentang mereka yang kononnya lebih handal dari kaum Quraisy. Pada mulanya Rasulullah sedikit gentar terhadap pengkhianatan mereka, tetapi dengan turunnya ayat Al-Quran (Al-Anfal: 58), mulalah baginda mengadakan tindakan disiplin terhadap mereka. Apa lagi pernah terjadi apabila seorang wanita Muslim diganggu oleh mereka, dan akibatnya seorang daripada Bani Qainuqa telah terbunuh oleh seorang Muslim yang melihat kejadian itu. Maka disebar-sebarkanlah fitnah jahat mengatakan bahawa Nabi mengkhianati janjinya. Semuanya ini menjadi alasan buat Nabi mengepung rumah-rumah Bani Qainuqa tersebut. Tetapi sebelum apa-apa hukuman dijatuhkan, Abdullah bin Ubayy meminta agar mereka dihalau sahaja yang mana Nabi menyetujuinya. Setelah diusir mereka menuju ke Wadil-Qura dan beberapa tempat di Sham.
Tentang Bani Nadhir pula, faktor yang menyebabkan mereka turut terusir berkaitrapat dengan peristiwa terbunuhnya dua orang dari suku Bani Kilab tanpa sengaja oleh Amru bin Umayyah ad-Dhamary, seorang utusan Nabi ke Nejd. Dan kerana diat yang hendak dibayar itu tidak mampu dipikul oleh kaum Muslimin yang terdesak itu, Nabi lalu mendatangi Bani Nadhir meminta bantuan. Sungguhpun mereka mengaku untuk menolongnya, tetapi ketika Nabi dan sahabatnya sedang menunggu dekat sebuah tembok, mereka mengambil kesempatan untuk membunuhnya seperti yang tersebut dalam Al-Quran (Al-Maidah: 11). Akibatnya berlaku sekali lagi kepungan terhadap perkam-pungan mereka selama hampir seminggu sehinggalah mereka sendiri meminta untuk meninggalkan Madinah. Nabi menerimanya dengan syarat tidak membawa baju besi bersama-sama. Akhirnya mereka menetap di Sham, tetapi juga berkembang biak di Khaibar.
Kepesatan perkembangan mereka di Khaibar menempatkan mereka sebagai pembesar-pembesar yang berpengaruh sehingga timbul keyakinan buat menyerang balas kaum Muslimin. Maka dihasutlah kabilah-kabilah Quraisy, Ghatfan, Salim, Asjad, Murrah dan lain-lainnya buat bersekutu menumpaskan Islam. Dan ketika Madinah dalam posisi tersepit oleh kepungan mereka inilah pemimpin Bani Nadhir, Huyai bin Akhtab mengajak Kaab bin Asad ketua Bani Quraidzah agar turut bergabung dengan mereka. Sebenarnya Kaab sedikit pun tidak tertarik malah enggan mencabuli persetiaan dengan Muhammad walaupun berkali-kali didesak oleh Huyai. Hanya apabila Huyai memberi jaminan kepadanya bahawa Bani Nadhir sanggup bersama Bani Quraidzah dalam perjuangan menghadapi Muhammad meskipun pasukan Al-Ahzaab kembali ke Mekah itulah baru Kaab mulai keluar dari sikap neutralnya. Penerimaan Bani Quraidzah tersebut cukup mengejutkan kaum Muslimin sehingga Rasulullah terus mengutus Saad bin Ubadah dan Saad bin Muaz untuk menasihati mereka yang mana telah ditolak oleh Kaab dengan angkuhnya.
Sebagaimana yang telah dijelaskan, tentera Al-Ahzaab terpaksa meninggalkan Madinah dengan penuh hampa sekali. Kemudiannya Bani Quraidzah telah dikepung selama hampir sebulan sehingga mereka terpaksa menyerah diri. Atas kemahuan mereka juga maka dilantiklah Saad bin Muaz sebagai Hakim. Dengan berpandukan prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perjanjian Madinah, maka dijatuhilah hukumannya berasaskan kitab Taurat 20:10 – 18 di mana laki-laki dibunuh, sedang wanita dan anak-anak ditawan.

BAB 9: PERIBADI RASULULLAH DALAM SOROTAN

Jika ada seorang manusia yang layak dijadikan ‘model’ manusia unggul, maka dia ialah Muhammad. Keunggulannya telah diakui sendiri oleh Allah s.w.t. “Sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4). Keagungan peribadinya bukan hanya untuk dikagumi bahkan sebenarnya untuk menjadi contoh ikutan bagi kita. “Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh tauladan yang baik bagimu” (Al-Ahzaab: 21, Al-A raat 158, Ali lmran: 30). Dan Muhammad sendiri mengatakan bahawa’Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak” (HR Ahmad).
Sebagai manusia contoh, perlulah peribadi dan laku perbuatannya disorot sekadar perlu. Pertamanya, beliau dikatakan memiliki personaliti ‘hebat’, iaitu semacam sifat yang menyebabkan seseorang itu ditakuti tetapi juga dihormati. Lantaran hebatnya, orang tidak berani mengangkat mukanya sewaktu beliau bercakap. Dan kalau mereka ingin ketawa, cuma setakat senyum sahaja. Peribadinya menggerunkan, sehingga seseorang yang tadinya berazam untuk menyakitinya akan menggeletar apabila berdepan dengannya. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan menawarkan sesiapa yang berani pergi ke Madinah untuk membunuh Nabi, tampillah Usaid bin Hudhair menyahut cabarannya. Tetapi apabila sampai di Madinah dan menemui Nabi, tergamamlah Usaid lalu berkata: “Demi Allah! Ya Muhammad. Tidak aku takut kepada manusia, tetapi ketika aku melihatmu, hilanglah akalku dan lemahlah badanku. Selain itu, engkau tahu pula maksudku yang mana sesiapa pun tidak mengetahuinya. Maka ketahuilah aku bahawa engkau orang yang dipelihara oleh Tuhan, dan engkau dalam kebenaran”. Sesudah ifu Usaid pun memeluk Islam.
Demikian juga ketika Al-Arasyi datang menuntut hutangnya dari Abu Jahal yang sengaja melambat-lambatkannya, orang-orang Quraisy sambil mempermain-mainkannya menasihatkan agar Al-Arasyi menemui Muhammad yang katanya boleh mendapatkan wangnya dari Abu Jahal. Kerana mempercayainya, dia terus menemui Muhammad, dan kemudiannya mereka terus ke rumah Abu Jahal. Sebaik sahaja Abu Jahal membuka pintunya dan melihat Muhammad tercegat di depannya, berubahlah mukanya lalu terus masuk ke dalam mengambil wangnya dan memberinya kepada AI-Arasyi, semata-mata kerana takutkan Muhammad!
Sungguhpun personalitinya hebat dan menggerunkan, tetapi beliau banyak pula tertawanya. Cuma tertawanya hanyalah pada tempatnya, dan ianya setakat senyuman sahaja. Dan bila beliau tertawa, kata Abu Hurairah, kelihatan seolah-olah dinding pun turut bergemilang. Baginda pun pemah bergurau, tetapi tidaklah sampai berdusta atau melewati batas kesopanan. Pernah kepada seorang perempuan tua Baginda berseloroh bahawa orang-orang tua tidak dapat masuk syurga. Ini tentunya sangat menyedihkannya, hinggalah Rasulullah mengatakan bahawa dia akan masuk syurga juga, iaitu setelah lebih dulu dimudakan!
Jika sifat hebatnya itu menyebabkan orang menjadi gentar, tetapi sifat ‘tawaduk’nya (merendah diri) pula sangat mempesonakan orang. Sungguhpun kedudukannya yang tinggi menyebabkan orang menghormatinya, beliau ternyata sangat suka merendah diri. Di rumah, beliau makan bersama-sama bujangannya, menjahit sendiri pakaiannya yang koyak, menampal sendiri kasutnya yang berlubang dan jua menyapu rumahnya. Ketika bersama-sama sahabatnya, beliau duduk di mana saja terdapat kekosongan tanpa memilih tempat, sehingga tidak dapat dibezakan sama sekali dengan orang lain. Beliau kadang-kadangnya menunggang kaldai bersendirian, dan kadang-kadang dengan memboncengkan orang lain. Pernah ketika beliau membeli beberapa helai seluar, Abu Hurairah ingin membawanya, tetapi jawab beliau: “Orang yang punya barang ingin membawanya.” Dan ketika, berlakunya peperangan AI-Ahzaab, beliau turut bertungkus-lumus menggali parit bersama orang lain. Semuanya itu sanggup dilakukannya, kerana katanya; “aku tidak suka kelihatan terbeza dari sahabat-sahabatku.”
Dari segi pendiriannya, beliau terkenal sebagai seorang yang sangat teguh dan tegas dalam menegakkan Kalimah Allah. “Sekiranya tidak lantaran Kami telah tetapkanmu, nescaya engkau condong sedikit kepada kemahuan mereka.” (Bani Israel: 74). Keteguhan pendiriannya terbukti jelas ketika orang-orang Quraisy mengutus Utbah bin Rabiah untuk memberi berbagai-bagai tawaran kepadanya, dengan syarat beliau menghentikan kegiatan dakwahnya. Kata Utbah: “Sekarang bagaimanakah Muhammad, apa yang menjadi kehendakmu dengan mengadakan agama baru itu? Jikalau dengan mengadakan agama baru itu, engkau berhajat akan harta benda, kami sanggup mengumpul harta benda buat engkau, sehingga engkau menjadi seorang yang paling kaya di antara kami. Jikalau engkau menghendaki kemuliaan atau ketinggian darjat, maka kami sanggup menetapkan engkau menjadi seorang yang paling mulia dan paling tinggi darjatnya di antara kami dan kamilah yang akan memuliakanmu. Jikalau engkau ingin menjadi raja, maka kami sanggup mengangkat engkau menjadi raja kami, yang memegang kekuasaan di antara kami, yang memerintah kami, dan kami semuanya tidak akan berani memutuskan sesuatu perkara, melainkan dengan izinmu atau dari keputusanmu. Jikalau engkau menghendaki perempuan-perempuan yang paling cantik, sedang engkau tidak mempunyai kekuatan untuk mencukupi keperluan mereka maka kami sanggup menyediakan perempuan-perempuan Quraisy yang paling cantik di antara perempuan kami dan pilihlah sepuluh atau seberapa saja menurut kehendakmu. Dan kamilah yang akan mencukupi keperluan mereka masing-masing, dan engkau tidak usah memikirkan keperluan mereka itu.”
Selesai sahaja Utbah berucap, Muhammad lalu membaca surah Fussilat ayat 1 hingga 14 yang mana menyebabkan Utbah semacam terpukau mendengarnya, hingga musnahlah segala rencana mereka selama ini. Pernah pula pemuka-pemuka Quraisy datang mengugut Abu Talib dan memintanya agar menasihatkan Muhammad, tetapi dengan tegas Baginda berkata: “Hai pakcikku! Jika mereka letakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku tinggalkan urusan agama ini, tidak akan aku turut, hingga Allah menangkan agama ini atau aku binasa kerananya!”
Jika dalam pendiriannya itu beliau cukup keras dan tegas, namun dari segi lain pula beliau merupakan seorang yang lemah-lembut. Ketika Makkah sudah berjaya ditakluki, ia memanggil orang-orang Quraisy yang sedang menunggu hukumannya dengan ketakutan sambil bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan berbuat terhadap kamu?” Jawab mereka: “Kebaikan, kerana engkau saudara kami yang pembelas, dan anak dari saudara kami yang pembelas”. Maka jawablah Baginda: “Pergilah, kamu sekalian bebas!” Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa orang yang dikecualikan daripada pengampunan itu, seperti lkrimah bin Abu Jahal misalnya. lkrimah melarikan dirinya, lalu dikejar oleh isterinya Ummu Hakim yang sudah meminta ampun dari Nabi buat suaminya. Katanya: “Janganlah engkau binasakan dirimu. Aku datang dari sebaik-baik manusia dan aku telah dapatkan keamanan bagimu”. Maka dia pun pulang bersama isterinya, dan ternyata Muhammad menerimanya dengan baik, meskipun beliau dan ayahnya termasuk musuhnya yang terbesar.
Pada masa itu juga Safwan bin Umayyah, musuh Islam yang bengis, bersembunyi dan hendak membunuh diri dengan terjun ke laut. Sepupunya Umair datang kepada Nabi menceritakan hal Safwan itu, maka Nabi menyuruh dikejar Safwan dengan memberikan serban sebagai tanda aman dan pengampunannya. Setelah kembali, dia meminta tempoh dua bulan lamanya daripada Nabi untuk berfikir masuk Islam, tetapi Nabi memberinya empat bulan. Bagaimanapun tidak sampai 4 bulan, Safwan pun memeluk Islam.
Tidak cukup dengan sifat pemaafnya, Muhammad juga seorang yang pemurah lagi dermawan. Seperti kata Jabir bin Abdullah, tidak pernah orang yang meminta sesuatu kepadanya dapat jawapan Tidak. Suatu ketika beliau menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu diletakkan di atas tikar. Tetapi kesemua wang itu dibagi-bagikannya, hingga apabila datang seseorang meminta sesuatu, beliau berkata: “Sayang sekali, saya sudah tidak mempunyai apa-apa lagi. Tetapi belilah sesuatu dengan berhutang atas namaku. Nanti kalau rezeki datang akan saya bayar”. Pemah pula seorang lelaki datang meminta sesuatu, lalu Rasulullah memberinya sekelompok kambing yang kerana banyaknya sampai menutup jalan antara dua gunung. Orang ini pulang kepada kaumnya dan berkata: “Hai kaumku. Masuklah Islam, kerana Muhammad itu apabila memberikan sesuatu pemberian adalah sebagai seorang yang tidak takut miskin sama sekali. Tidak pernah kalau diminta, lalu berkata “Jangan”.
Seiring dengan sifat pemurah itu ialah sifat pengasih dan penyayangnya. la mengasihi sesiapa saja, baik kawan mahupun lawan, baik kanak-kanak mahupun orang tua, baik kaya mahupun miskin dan baik manusia mahupun binatang. Sering ia mempercepat solatnya apabila terdengar tangisan budak, agar lekas diurus oleh ibunya yang turut berjemaah bersamanya. Begitu kasihnya Muhammad kepada ibunya Aminah, hingga apabila permohonannya agar Tuhan mengampuni ibunya tidak diperkenankan, beliau lalu menangis di kuburnya. Dan terhadap pakciknya Abu Talib, kecintaannya ternyata pada percubaannya yang tak putus-putus agar ia memeluk Islam, tetapi gagal juga sehinggalah turunnya ayat Al-Quran (Al-Qasas: 56) yang melarang Nabi berbuat demikian. Selepas turunnya ayat ini, Abu Talib meninggal dunia tanda menganut Islam. Ini menambahkan lagi kedukacitaan Nabi sehingga sampai beberapa hari Baginda tidak keluar rumah kerana memohon agar Allah mengampunkannya. Akhimya turunlah sepotong ayat (At-Taubah: 113) yang mencegah permohonan Nabi terhadap orang-orang yang nyata kekafirannya, meskipun mereka itu kerabatnya yang hampir. Bagaimanapun berkat syafaat Nabi di Hari Kiamat, Abu Talib akan ditempatkan di neraka yang paling tipis apinya, iaitu cuma setinggi mata kaki, tetapi dapat menyebabkan otak mendidih. (HR Bukhari dan Muslim).
Tidak setakat manusia sahaja, kerahimannya juga meliputi binatang. Menurut riwayat Abdul Rahman bin Abdullah, suatu hari mereka bersama-sama Rasulullah dalam pelayaran, tiba-tiba mereka terlihat seekor ibu burung merak bersama dua ekor anaknya yang kecil. Mereka mengambil kedua-dua anaknya, dan kemudian datanglah ibunya mengepak-ngepakkan sayapnya lantaran marah. Melihat itu Rasulullah pun bersabda: “Sesiapa yang telah memisahkan anak-anak burung ini dari ibunya hendaklah dia mengembalikan semula kepada ibunya!”
Selain dari sifat-sifat tersebut, adalah Rasulullah ini sangat terkenal kerana keberaniannya. Seperti kata Ali bin Abu Talib, dalam peperangan Badar Rasulullah adalah yang terdekat sekali tempatnya dengan musuh dan juga terhebat semangatnya di antara seluruh mereka. Dan dalam peperangan Hunain, kata Abbas bin Abdul Mutalib, ketika kaum Muslimin bertempiaran lari akibat serbuan musuh secara tiba-tiba, Rasulullah tegap terpacak di tempatnya, bahkan menunggang baghalnya menuju ke pihak musuh.
Semua sifat-sifat yang dibicarakan di sini dan yang tak sempat dibicarakan, termasuk sifat ‘Al-Sadiq Al-Amin’ seperti yang dibicarakan dulu, benar-benar telah meletakkan Muhammad sebagai contoh manusia ideal. Dan sifat-sifat tersebut bukannya untuk menjadi bahan kajian semata-mata, melainkan untuk dicontohi serta diamalkan. Marilah kita bersama-sama menurut jejak langkah Rasulullah yang mulia dan sempurna itu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar